Sabtu, 20 Oktober 2018 | 5:55pm
TUN Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali ceria bergambar bersama ketika melawat Air Terjun Temurun Langkawi. - Foto BERNAMA
TUN Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali ceria bergambar bersama ketika melawat Air Terjun Temurun Langkawi. - Foto BERNAMA

Kurangkan kebergantungan kepada import makanan

LANGKAWI: Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa peladang, penternak dan nelayan mengubah cara mereka bekerja, sekali gus meningkatkan hasil pengeluaran dan mengurangkan kebergantungan negara kepada import makanan.

Perdana Menteri berkata, Malaysia tidak lagi boleh terus bergantung kepada bekalan makanan daripada negara lain yang pastinya menuntut kos kewangan lebih tinggi pada masa hadapan.

“Kita patut mencontohi China yang mempunyai 1.4 bilion penduduk, namun berjaya menghasilkan makanan mencukupi terutama beras bagi kegunaan rakyatnya.

“Ini menunjukkan mereka mempunyai teknologi canggih dan membuat kajian sepanjang masa bagi mendapatkan hasil pengeluaran yang banyak,” katanya pada sidang media selepas Program Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Peladang, Penternak dan Nelayan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin.

Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, beliau yakin Malaysia mampu meningkatkan hasil pengeluaran pertanian, namun perlu menggunakan kaedah saintifik yang cekap seperti mana diterokai negara lain.

“Jepun sebagai contoh tidak mempunyai kawasan tanaman padi yang luas, tetapi mampu keluarkan hasil lebih dua kali setahun.

“Antara cara pengeluaran yang patut pesawah kita lakukan adalah mencantumkan sawah kecil dan menjadikannya ladang besar supaya penjagaan lebih rapi dapat dilakukan,” katanya.

Berita Harian X