Sabtu, 20 Oktober 2018 | 6:59pm
DATUK Dr Ahmad Jailani Mohamed Yunus (kiri), beramah mesra bersama wakil media ketika majlis Hi-Tea Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik Malaysia (PPTD) bersama Media 2018 di Le Meridian Hotel Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

'PTD perlu berusaha dapatkan kepercayaan Kabinet baharu'

KUALA LUMPUR: Semua pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) perlu berusaha mendapatkan kepercayaan kerajaan dan jemaah Kabinet baharu, serta berubah mengikut cara pentadbiran kini.

Presiden Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik Malaysia (PPTD), Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus, berkata defisit kepercayaan terhadap PTD ketika ini adalah perkara biasa apabila berlaku peralihan kerajaan.

Katanya, kepercayaan antara PTD yang pernah berkhidmat bersama pentadbiran terdahulu, dengan kerajaan baharu akan terbentuk tetapi mengambil sedikit masa.

“Ia normal di mana-mana negara sekali pun apabila berlaku peralihan kerajaan, namun peranan PPTD ialah memendekkan proses asimilasi ini.

“Ini juga perkara baharu buat kami kerana kali pertama berlaku perubahan kerajaan tetapi semua PTD sudah dilatih memiliki daya tahan yang baik dan berubah menjadi lebih baik.

“PTD di kementerian, jabatan, negeri dan daerah perlu membuktikan kenapa kerajaan baharu ini boleh percaya kepada kita, dengan meningkatkan produktiviti, kecekapan dalam melaksanakan tugas serta mengubah kaedah pengurusan,” katanya ketika ditemui pada majlis Hi-Tea PPTD Bersama Media, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai defisit kepercayaan dalam kalangan jemaah Kabinet terhadap PTD selepas berlaku peralihan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dilaporkan berkata ada pegawai kerajaan masih setia kepada pentadbiran terdahulu dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dr Mahathir turut dilaporkan menggesa PTD supaya setia kepada kerajaan dipilih rakyat hari ini, namun mesti menolak arahan pihak atasan yang bertentangan dasar kerajaan dan undang-undang negara.

Sementara itu, Ahmad Jailani berkata, PPTD yang kini memiliki hampir 7,000 ahli, mahu menjalinkan hubungan rapat dengan media dan melengkapi antara satu sama lain.

Beliau turut menggalakkan media untuk melaporkan PTD yang membuat kesalahan, dengan memberi teguran membina sebagai pengajaran kepada semua pegawai kerajaan.

Berita Harian X