Sabtu, 20 Oktober 2018 | 7:22pm
JUFITRI Joha. - Foto NSTP/Saddam Yusoff

MBM mahu kerajaan hapuskan ujrah PTPTN dalam Bajet 2019

KUALA LUMPUR: Majlis Belia Malaysia (MBM) memohon kerajaan menghapuskan sistem ujrah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam pembentangan Bajet 2019.

Presiden MBM, Jufitri Joha, berkata sistem ujrah dilihat membebankan kerana mewujudkan hutang tambahan kepada peminjam PTPTN.

Katanya, ada peminjam PTPTN yang ditemuinya terpaksa menanggung tunggakan sehingga RM9,000 kesan daripada sistem ujrah, sekali gus membebankan mereka yang kebanyakannya baru mahu memulakan kerjaya serta membina kehidupan.

“Kita akui mengenai kesalahan peminjam yang lewat melakukan bayaran atas pelbagai sebab dan alasan, namun adalah tidak wajar jika mereka terpaksa menanggung sehingga RM9,000 kerana ujrah.

“MBM berharap kerajaan akan menghapuskan ujrah dan melupuskan tunggakan hasil daripada sistem itu dalam pembentangan Bajet 2019 bagi meringankan beban peminjam yang rata-ratanya adalah golongan belia yang baru bekerja,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Jufitri berkata, kerajaan juga perlu melaksanakan pengecualian cukai kepada graduan baru bekerja yang berpendapatan di bawah RM5,000, dalam belanjawan kerajaan itu.

Katanya, peruntukan untuk Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) juga perlu ditambah, selaras dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang mahu membangunkan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“PTPK perlu menjadi keutamaan kerajaan kerana peruntukan untuk TVET inilah yang mampu memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah atau B40, serta memberi peluang kedua kepada kumpulan pelajar yang tercicir,” katanya.

Jufitiri berkata, kerajaan juga perlu mempertimbangkan permintaan kebanyakan belia yang berharap Bajet 2019 akan meneruskan kesinambungan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang kini digantikan dengan Bantuan Sara Hidup (BSH).

“Bajet 2019 juga diharap akan meningkatkan peruntukan kepada Kementerian Belia dan Sukan yang akan menyalurkan bantuan kepada pertubuhan belia untuk terus menjalankan agenda pembangunan sosial,” katanya.

Berita Harian X