Isnin, 22 Oktober 2018 | 12:24pm
TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyempurnakan majlis pecah tanah Rumah Impian Bangsa Johor Mersing di Kampung Sri Pantai, hari ini. - Foto Mohd Sabran Md Sani
TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyempurnakan majlis pecah tanah Rumah Impian Bangsa Johor Mersing di Kampung Sri Pantai, hari ini. - Foto Mohd Sabran Md Sani

TMJ pecah tanah projek Rumah Impian Bangsa Johor Mersing

MERSING: Penduduk di daerah ini mendapat hadiah istimewa apabila kira-kira 1,000 unit rumah pelbagai jenis akan dibina selepas majlis pecah tanah Rumah Impian Bangsa Johor Mersing di Kampung Sri Pantai di sini, hari ini.

Majlis pecah tanah disempurnakan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Rumah Impian Bangsa Johor Mersing antara projek dinaungi Yayasan Sultan Ibrahim bagi membantu rakyat negeri ini memiliki rumah sendiri.

Kehadiran Tunku Ismail di Kampung Sri Pantai di sini, pada jam 11.10 pagi membawa hadiah paling bermakna terutama dalam merealisasikan janji Keluarga Diraja Johor membantu rakyat memiliki rumah.

Usaha membantu rakyat memiliki rumah mampu milik itu antara hadiah istimewa diumumkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-59, tahun lalu.

Sultan Ibrahim dalam titahnya mahu projek hak milik bebas unik ini menawarkan konsep hartanah kediaman berlainan, rumah kedai dan lain-lain unit komersial.

Pegawai Daerah Mersing, Asman Shah Abdul Rahman, berkata projek dilaksanakan di tanah kurnia Sultan Johor membabitkan pembinaan pelbagai unit kediaman di kawasan seluas 57 hektar.

“Projek ini membabitkan pembinaan rumah teres satu dan dua tingkat, rumah berkembar, banglo dan rumah kedai dilengkapi pelbagai kemudahan asas lain.

“Turut bakal dibina, Kompleks Bangsa Johor, surau, balai raya dan perancangan pembinaan sebuah sekolah rendah serta menengah,” katanya ketika ditemui pada majlis pecah tanah itu, hari ini.

Asman Shah berkata, Sultan Johor berkenan membangunkan kediaman itu kerana keprihatinan baginda terhadap keperluan rakyat dan masyarakat daerah ini yang sangat memerlukan rumah mampu milik.

“Saya selaku Pegawai Daerah dan masyarakat menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Sultan Johor untuk membangunkan rumah ini di Mersing.

“Kami menjunjung kasih di atas perkenan baginda Tunku Ismail melancarkan majlis pecah tanah bagi pembangunan Rumah Impian Bangsa Johor di Mersing,” katanya.

Menurutnya, permohonan tanah berkenaan sudah dikemukakan kepada Pengarah Tanah dan Galian Negeri Johor dan projek itu dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

Katanya, sehingga kini belum ada lagi projek pembangunan seumpama itu yang menawarkan harga berpatutan bermula RM70,000.

“Saya dapati ramai yang mengajukan pertanyaan dan masyarakat Mersing teruja dengan pelancaran projek itu,” katanya.

Katanya, permohonan bagi mendapatkan kediaman itu dilakukan secara dalam talian.

Berita Harian X