Isnin, 22 Oktober 2018 | 5:47pm
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman melancarkan laporan Kedudukan Penduduk Dunia 2018: “Adakah Malaysia membuat pelaburan secukupnya untuk belia?,” terbitan Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA), di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Program ganti PLKN, BTN siap 70 peratus

KUALA LUMPUR: Program khusus yang dirangka bagi menggantikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tata Negara (BTN) akan dicadang untuk dimasukkan dalam peruntukan Bajet 2019.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman, berkata proses merangka program untuk melahirkan pemimpin belia berketerampilan dan memiliki pelbagai kemahiran itu kini siap 70 peratus.

Beliau difahamkan, kerangka program yang ketika ini diusahakan menerusi kerjasama dengan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Ernst & Young Malaysia (EY) memerlukan kos operasi serta perbelanjaan sekitar RM70 juta setahun.

“Ia pengurangan ketara berbanding apa yang dibelanjakan bagi PLKN, kita ketika ini dalam fasa untuk cuba gabungkan semua sumber (tenaga manusia) daripada PLKN dan BTN.

“Jika dibandingkan, PLKN sebelum ini memerlukan purata kos perbelanjaan sekitar RM85,000 untuk melatih seorang peserta program berkenaan yang dijalankan dalam tempoh dua hingga tiga bulan.

“Ijazah Sarjana Perundangan saya selama empat tahun lebih murah (dibandingkan dengan kos melatih seorang peserta PLKN),” katanya dalam nada berseloroh.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan laporan Kedudukan Penduduk Dunia 2018: “Adakah Malaysia membuat pelaburan secukupnya untuk belia?,” terbitan Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq memberi jaminan bahawa rantaian tender penganjuran program itu akan dilaksanakan secara terbuka, berbanding rundingan terus yang dibuat pentadbiran kerajaan terdahulu.

Menegaskan penyertaan program itu bukan wajib, beliau berkata perincian selanjutnya berhubung modul dan butiran berkaitan akan didedahkan dalam tempoh terdekat.

“Sangat sedih tender sebelum ini (PLKN dan BTN) dibuat secara rundingan terus, sehingga menyaksikan kos operasi serta perbelanjaannya melonjak melampaui jangkaan.

“Bagaimanapun, program baharu ini akan menggunakan audit standard terbaik kerana dikendalikan Khazanah dan EY, termasuk merangka modul yang bebas daripada pengaruh politik seperti diterapkan dalam BTN.

“Selain itu, kita jemput wakil daripada parti politik dengan fahaman berbeza supaya usaha merangka program dan modul dibuat tanpa menyebelahi mana-mana pihak, sekali gus menepis tanggapan bahawa ia sekadar ‘alat’ menyuntik fahaman politik,” katanya.

Berita Harian X