Khamis, 25 Oktober 2018 | 1:57pm
TIMBALAN Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar bersalaman dengan orang ramai pada Sesi Town Hall oleh Jawatankuasa Bebas Pengurusan Pekerja Asing Malaysia yang diadakan di Wisma Negeri. - Foto Hazreen Mohamad

Pemansuhan sistem pengambilan pekerja asing sudah lama dibincang - Mahfuz

SEREMBAN: Keputusan kerajaan memansuhkan sistem pengambilan pekerja asing melalui ejen atau syarikat adalah langkah tepat dalam mengawal pengambilan dan kebajikan golongan itu di negara ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, berkata ia sekali gus berperanan melindungi pekerja asing daripada perlakuan tidak adil dan kes pemerdagangan manusia.

Menurutnya, pemansuhan itu bukan keputusan terburu-buru sebaliknya dirancang sejak 2010 dengan beberapa perbincangan dilakukan dalam menambah baik pengurusan pekerja asing antara Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Kami memutuskan untuk tidak meneruskan program ‘outsourcing’ yang kini diuruskan oleh KDN dan tugas itu akan diserahkan kepada KSM menerusi Agensi Pekerjaan Swasta (APS) kerana ada akta khas supaya ia lebih terurus dan mematuhi undang-undang.

“Ia diputuskan sudah lama dan ini adalah antara langkah dan tindakan yang dibuat oleh kerajaan selain memastikan kerenah birokrasi dan masalah ketelusan dapat diatasi,” katanya hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Sesi Town Hall oleh Jawatankuasa Bebas Pengurusan Pekerja Asing Malaysia yang diadakan di Wisma Negeri, di sini.

Sementara itu, dalam usaha kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, Mahfuz berkata, pihaknya akan melihat semua enam sektor yang dibenarkan mengambil pekerja asing secara menyeluruh.

“Sekiranya kita melihat dari aspek nisbah penggajian pekerja asing kepada jumlah penduduk bekerja, 19.3 peratus pada 2008 manakala 11.7 peratus (2018), ia menunjukkan penurunan sebanyak 7.6 peratus dalam tempoh 10 tahun,” katanya.

Menurutnya, daripada 2.06 juta pekerja asing pada 2008, sebanyak 35.3 peratus bekerja di sektor pembuatan, pertanian dan perladangan (25.3) pembinaan (14.90, pembantu rumah (14.2) serta perkhidmatan (10.3).

Katanya pada 2018 seramai 1.75 juta pekerja asing dengan sektor pembuatan mempunyai 37.1 peratus pekerja asing, pembinaan (17.8), perladangan (15.8), perkhidmatan (13.7), pertanian (8.5) dan pembantu rumah (7.16).

Berdasarkan senario itu, beliau berkata, komposisi penggajian pekerja asing sejak 10 tahun lalu tidak banyak berubah apabila pembuatan masih menjadi sektor utama menggajikan pekerja asing.

Berita Harian X