Sabtu, 27 Oktober 2018 | 2:02pm
MUHYIDDIN Mohd Yassin

Saya sudah 60 peratus pulih - Muhyiddin

PAGOH: “Alhamdulillah, kesihatan saya sudah 60 peratus pulih selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di pankreas serta beberapa sesi kemoterapi,” kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, berkata beliau sudah menjalani empat sesi kemoterapi dan masih mempunyai baki empat sesi yang perlu dilakukan.

Katanya, beliau mendedahkan keadaan terkini kesihatannya untuk berkongsi kepada masyarakat dan memaklumkan beliau sudah bersedia sepenuhnya untuk terus bekerja dan berbakti kepada negara.

“Saya sebenarnya sudah lama tak berucap namun hari ini saya ingin memberitahu rakyat Pagoh keadaan kesihatan terkini saya. Saya disahkan doktor mengalami kanser pankreas tahap pertama atau peringkat awal dan dinasihatkan membuang ketumbuhan kanser yang ada.

“Pankreas saya dipotong 40 peratus begitu juga deodenum dan saluran hempedu (bile duct) turut dipotong. Saya perlu menjalani lapan sesi kemoterapi di mana empat sudah selesai, empat lagi akan dilakukan dalam tempoh empat bulan ini.

“Alhamdulillah selepas menjalani empat kali sesi kemoterapi dah boleh balik kawasan hari ini. Sudah boleh pergi ke Mesyuarat Jemaah Menteri semalam, mesyuarat parti selain mempengerusikan mesyuarat berkenaan pendatang asing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Menteri Dalam Negeri serta Ahli Parlimen Pagoh di Dewan Serbaguna Pagoh, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, isterinya, Puan Sri Norainee Abd Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian, Dr Sahruddin Jamal.

Lebih 600 rakyat Pagoh menghadiri majlis ramah mesra yang juga kali pertama Muhyiddin pulang ke kawasan Parlimennya selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di pankreas pada 12 Julai lalu.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, beliau kini berasa kesihatannya semakin pulih terutama selepas mula bekerja.

“Apabila kurang sihat, badan lemah, kepala pening, muntah-muntah dan lebih banyak berehat di rumah serta menumpukan kepada amal ibadah.

“Tapi apabila badan semakin kuat dan memaklumkan doktor yang merawat mahu pulang ke Pagoh, beliau pula risau kerana bimbangkan saya terkena jangkitan,” katanya.

Berita Harian X