Sabtu, 27 Oktober 2018 | 3:53pm
SYED Saddiq (dua dari kanan) beramah mesra dengan Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz (kiri) pada Forum Ekonomi Belia 2018 di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia hari ini. - Foto BERNAMA

MFLS sasar peserta PT3, SPM

KUALA LUMPUR: Peruntukan RM70 juta bagi membiayai penganjuran program Sekolah Kepemimpinan Masa Depan Malaysia (MFLS) mendapat kelulusan dan dimasukkan dalam Bajet 2019.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman, ketika menjelaskan perincian program baharu yang dijangka berlangsung antara dua hingga tiga minggu itu, berkata pengambilan peserta akan terbahagi kepada dua kelompok usia, iaitu 15 dan 17 tahun.

Katanya, proses pemilihan akan bermula awal tahun, menerusi penilaian yang dikendalikan pengetua dan guru berkaitan supaya hanya peserta terbaik dipilih bagi mengikuti program berkenaan.

“Peserta lepasan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini dipilih dari setiap sekolah, bukan hanya sekolah elit, serta mereka perlu melalui tiga proses saringan.

“Matlamat program ini lebih terarah kepada pembangunan jati diri dan belia berwawasan menerusi pelaksanaan modul berkaitan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama sempena Forum Ekonomi Belia (YEF) 2018, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, sebuah bengkel bagi tujuan sumbang saran dan mengetengahkan idea mengenai modul MFLS akan dianjurkan dalam tempoh terdekat.

Pengganti kepada Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tata Negara (BTN) itu, katanya, bakal menjadi pemangkin untuk melahirkan lebih ramai generasi belia sebagai pemimpin masa depan.

“Apa yang menarik semua tender bagi MFLS akan dibuat secara terbuka, bukan pendekatan rundingan terus seperti dilaksanakan pada pelaksanaan BTN dan PLKN.

“Perlu ditekankan bahawa program baharu ini (MFLS) memberi penjimatan yang sangat banyak kepada kerajaan kerana perbelanjaan kos BTN pernah menjangkau RM55 juta manakala PLKN sampai RM680 juta.

“Tetapi pada tahun lalu, PLKN hanya beri impak kepada 19,000 orang, itu pun prosesnya tidak lengkap kerana prosedur kontrak semuanya bermasalah sampai rantaian bekalan untuk baju dan kasut juga dibuat secara rundingan terus,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Syed Saddiq berkata, program ‘mentor-mentee’ membabitkan belia dan pengurusan tertinggi korporat, iaitu ketua pegawai eksekutif (CEO) serta pengerusi syarikat akan diwujudkan.

Beliau berkata, persetujuan awal berhubung penganjuran program itu dicapai bersama beberapa peneraju sektor korporat ‘gergasi’ di negara ini, sekali gus membuka peluang kepada belia untuk mencorak masa depan dalam bidang selain politik.

“Beberapa surat sudah dihantar ke CEO dan pengerusi syarikat korporat terbesar di Malaysia dan saya sangat berbesar hati kerana maklum balas mengenainya amat positif.

“Kita jangka untuk laksanakan program yang mungkin berlangsung selama tiga hingga 12 bulan ini mulai tahun depan,” katanya.

Menyentuh aspek pemilihan ‘pelatih’ bagi program berkenaan, Syed Saddiq berkata, ia akan berdasarkan merit, namun keutamaan turut diberikan kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Pemilihan perlu dilaksanakan secara adil, tanpa campur tangan politik supaya penganjuran program ini mencapai matlamatnya, iaitu mengangkat sosio ekonomi belia dan melahirkan lebih ramai pemimpin di sektor korporat dalam kalangan anak muda,” katanya.

Berita Harian X