Ahad, 28 Oktober 2018 | 6:27pm
JASMI (tengah) diiringi Ahmad Zaini bergambar bersama guru sekolah dalam Majlis Penghargaan BH Sepetang Bersama Guru di Hotel Bayview, Bandar Hilir, Melaka, hari ini. - NSTP/Rasul Azli Samad

BH rai guru Melaka, Negeri Sembilan

MELAKA: Kira-kira 250 guru daripada 160 sekolah rendah dan menengah dari Melaka dan Negeri Sembilan diraikan dalam Majlis Penghargaan BH Sepetang Bersama Guru di Hotel Bayview, Bandar Hilir, di sini, hari ini.

Majlis diadakan bagi menghargai sokongan pendidik dan sekolah yang setia melanggan sisipan pendidikan akhbar BH iaitu Didik, Minda dan Skor, sejak beberapa tahun lalu.

Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Jasmi Abu Samah, berkata penggunaan sisipan akhbar sebagai bahan bantu mengajar (BBM) dalam darjah boleh membantu penskoran ditetapkan Kementerian Pendidikan menerusi Instrumen Pemantauan Guru.

“Penggunaan akhbar sama dalam bentuk cetakan atau digital dapat membudayakan amalan membaca dalam kalangan pelajar.

“Secara tidak langsung, amalan sebegini dapat membuka minda pelajar, sekali gus menjadikan mereka insan berpengetahuan dan peka terhadap isu semasa,” katanya.

Yang turut hadir, Pengarang Eksekutif BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Pengurus Besar Jabatan Vertikal Pendidikan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Farah Ezrin; Pengurus Besar, Jabatan Jualan Akhbar dan Pengedaran NSTP, Alfian Alias; Pengarang Unit Pendidikan BH, Fadzlena Jaafar dan Ketua Biro NSTP Melaka, Badrul Hizar Ab Jabar.


JASMI (tiga dari kiri) diiringi Ahmad Zaini (empat dari kiri) bergambar bersama selepas Majlis Penghargaan BH Sepetang Bersama Guru di Hotel Bayview, Bandar Hilir, Melaka, hari ini. - NSTP/Rasul Azli Samad

Jasmi (dua dari kanan) diiringi Ahmad Zaini (tiga dari kanan) serta Farah Ezrin (kiri) dan Alfian Alias (kanan) pada Majlis Penghargaan BH Sepetang Bersama Guru di Hotel Bayview, Bandar Hilir, Melaka, hari ini. - NSTP/Rasul Azli Samad. - NSTP/Rasul Azli Samad

Majlis turut diisi dengan persembahan penyanyi yang popular dengan lagu Sedalam Dalam Rindu, Tajul Ariff selain terdapat jualan dan promosi produk BH termasuk buku serta portal pendidikan komprehensif dibangunkan NSTP, ‘FullAMark’.

Melaka adalah negeri kedua dikunjungi dalam program Sepetang Bersama BH selepas Johor Bahru, Johor sebelum diteruskan ke Kota Bharu, Kelantan; Kedah, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, Ahmad Zaini dalam ucapannya berkata, keberkesanan sisipan pendidikan BH terbukti apabila majoriti daripada 10 sekolah terbaik UPSR, PT3, SPM sejak 2015 di setiap negeri.

“Di Selangor dan Kelantan misalnya, terdapat sembilan sekolah terbaik UPSR dalam senarai itu adalah pelanggan BH,” katanya.

Katanya, NSTP turut melihat kepentingan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan generasi muda hari ini.

Justeru, katanya, NST melancarkan beberapa sisipan seperti Niexter dan School Times bagi meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan.

Berita Harian X