Isnin, 29 Oktober 2018 | 12:03pm
GAMBAR fail, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Ramai warga asing dapat tapak pasar tani?

KUALA LUMPUR: Satu jawatankuasa baharu peringkat Kabinet perlu diwujudkan bagi mengkaji lambakan warga asing yang memiliki tapak pasar pertanian dan kebun kecil dalam negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, berkata pihaknya tidak boleh bertindak bersendirian dan memerlukan kerjasama kementerian lain bagi menangani isu berkenaan secara holistik.

Katanya, fungsi jawatankuasa dicadangkan itu berbeza dengan jawatankuasa Kabinet sedia ada yang dipengerusikan Menteri Dalam Negeri bagi mengawal kemasukan pekerja asing.

“Di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, kita mampu menyediakan kemudahan terbaik berdasarkan peruntukan yang ada untuk menggalakkan anak muda tempatan terbabit dalam industri ini.

“Bagaimanapun, jika ada lambakan warga asing tanpa kawalan dan pemberian sewa serta pemilikan bangunan yang longgar, ia perlu dibincang dalam skala lebih besar,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri M Saravanan (BN-MIC Tapah) yang mahu tahu tindakan kerajaan mengawal pemilikan kebun kecil hingga tapak perniagaan oleh warga asing yang disifatkan berbahaya.

Terdahulu menjawab soalan asal Saravanan mengenai cadangan kementerian meningkatkan pendapatan golongan muda dalam bidang pertanian, Salahuddin berkata, Majlis Agropreneur Muda akan dilancarkan selepas Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2018 (MAHA 2018) pada 22 November sehingga 2 Disember ini.

Berita Harian X