Isnin, 29 Oktober 2018 | 1:00pm
GAMBAR fail, Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Tiada tempoh khusus ratifikasi 6 konvensyen antarabangsa

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menetapkan tempoh tertentu untuk meratifikasi baki enam konvensyen antarabangsa berhubung hak asasi manusia.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya, berkata kerajaan bagaimanapun tidak akan mengetepikan isu baki konvensyen yang belum ditandatangani itu, malah usaha penelitian meratifikasinya giat dilakukan.

“Kerajaan tidak mempunyai jangka masa khusus untuk menandatangani dan meratifikasi enam konvensyen antarabangsa terbabit tetapi ia bergantung kepada keperluan semasa.

“Berkenaan isu undang-undang, ia bergantung kepada Perlembagaan, hak sesuatu kaum.

“Kita masih mengkaji dan memberi penelitian khusus sebelum mengambil keputusan menandatangani konvensyen berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Chang Lih Kang (PH PKR-Tanjong Malim) sama ada kerajaan menetapkan masa tertentu untuk menandatangani baki enam konvensyen antarabangsa terbabit dan sama ada kerajaan akan menghentikan pelaksanaan undang-undang berkaitan.

Marzuki berkata, walaupun tidak menetapkan tempoh masa tertentu, kerajaan tetap giat menjalankan kajian melalui enam jawatankuasa kecil yang ditubuhkan untuk meneliti semua konvensyen terbabit.

“Jawatankuasa kecil ini membabitkan pelbagai kementerian dan agensi termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia.

“Penelitian ini penting bagi memastikan peruntukan sedia ada dalam konvensyen antarabangsa itu tidak bercanggah dengan undang-undang negara.

“Kerajaan sudah berjanji menandatangani baki enam konvensyen hak asasi itu dan usaha giat dilakukan untuk merealisasikan sasaran kerajaan,” katanya.

Setakat ini, Malaysia hanya meratifikasi tiga daripada sembilan konvensyen antarabangsa berhubung hak asasi manusia iaitu Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), Konvensyen Hak Asasi Kanak-Kanak (CRC) dan Konvensyen Hak Asasi Orang Kurang Upaya (CRPD).

Berita Harian X