Selasa, 30 Oktober 2018 | 12:48pm
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming (kanan) dan Timbalan Menteri Tenaga Sains Teknologi Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Isnaraissah Munirah Majilis (kiri) melawat tapak pameran mesin NSW yang membuat cip eletronik selepas Majlis Pembukaan Graphene Malaysia 2018 di Menara MITI, semalam. - Foto Rosela Ismail

Sistem amaran awal tsunami negara mencukupi

KUALA LUMPUR: Sistem amaran awal tsunami yang dipasang di seluruh negara mencukupi untuk memberi maklumat awal sekiranya bencana berkenaan melanda.

Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis, berkata sistem merangkumi penggunaan tolok pasang surut, kamera pantai dan siren memadai bagi memberi amaran awal kepada rakyat negara ini.

“Ada 77 seismometer, 53 siren, 17 tolok pasang surut dan 15 kamera pantai dipasang di seluruh negara.

“Cuaca di Malaysia agak susah diramalkan kerana kita berada di kawasan tropika yang mana pergerakan cuaca kita pendek dan sentiasa beredar.

“Setakat ini, stesen ramalan cuaca dan sistem amaran tsunami kita mencukupi,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Jugah Anak Muyang (PH-PKR Lubok Antu), sama ada kerajaan bercadang menambah sistem amaran tsunami di negara ini.

Menjawab soalan asal Jugah sama ada kerajaan mempertimbangkan untuk menggantikan alat boya tsunami yang hilang di Laut China Selatan memandangkan kerap berlaku gempa bumi, Isnaraissah Munirah berkata, perkara itu sudah dilaksanakan kerajaan.

“Bagi menggantikan boya tsunami yang hilang di Laut China Selatan, kerajaan mempunyai alternatif iaitu tolok pasang surut yang dipasang di Pulau Layang-Layang serta rangkaian tolok pasang surut antarabangsa sedia ada.

“Tolok pasang surut memberi data setiap minit dan mempunyai fungsi serta keberkesanan sama dengan pelampung tsunami,” katanya.

Berita Harian X