Selasa, 30 Oktober 2018 | 1:21pm
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching. - Foto Asyraf Hamzah
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching. - Foto Asyraf Hamzah

Baik pulih sekolah rosak RM20.57j - Timbalan Menteri

KUALA LUMPUR: Kerajaan membelanjakan RM20.57 juta bagi membaik pulih 446 sekolah di seluruh negara yang rosak akibat banjir dan ribut sejak Januari lalu hingga bulan ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, berkata proses membaik pulih sekolah terbabit penting bagi memastikan proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) tidak terganggu.

Katanya, RM13.52 juta daripada jumlah itu adalah perbelanjaan membaik pulih 221 sekolah yang rosak akibat banjir, RM4.3 juta membaiki 181 sekolah dilanda ribut dan RM2.75 juta bagi membaik pulih 44 sekolah akibat kerosakan kecemasan lain.

“Sejak Januari sehingga hari ini, Kementerian Pendidikan menumpukan kepada pembaikan sekolah kerajaan yang terjejas akibat banjir dan ribut kerana ia memberi kesan kepada proses PdP.

“Perbelanjaan membaik pulih memberi tumpuan kepada pembaikan sekolah yang kritikal,” katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan RSN Rayer (PH-DAP Jelutong) yang mahu Kementerian Pendidikan menjelaskan bila kerja pembaikan kerosakan bumbung dewan Sekolah Kebangsaan Jelutong Barat akan dimulakan.

Mengenai kerosakan bumbung sekolah berkenaan, Nie Ching berkata, kerja membaik pulih dijangka bermula awal tahun depan berdasarkan keutamaan skop kerja disyorkan oleh Jabatan Pendidikan Pulau Pinang.

“Ia membabitkan pembaikan struktur dan pendawaian elektrik akibat serangan anai-anai,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X