Selasa, 30 Oktober 2018 | 1:25pm
Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar. - Foto Abd Rahim Rahmat
Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar. - Foto Abd Rahim Rahmat

'Kalau betul kata ya, kalau salah berani betulkan' - KSN

PUTRAJAYA: Anggota perkhidmatan awam termasuk pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) perlu berani tampil ke hadapan dan memberikan nasihat yang betul apabila berlaku suatu perkara membabitkan konflik kepentingan.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar menegaskan, keupayaan itu penting bagi memastikan tugasan boleh dijalankan dengan amanah kerana budaya kerja berdisiplin tinggi adalah penting bagi meningkatkan keyakinan diri dalam menghadapi cabaran.

“Kalau perkara itu betul, katakan ‘ya’ dan kalau perkara itu salah, kita perlu berani membetulkannya. Pastinya kita semua sebagai anggota perkhidmatan awam memikul satu tanggungjawab besar dalam memastikan segala urusan kerajaan adalah berpandukan lunas undang-undang.

“Dalam apa juga tugas yang dilaksanakan, adalah penting anda melaksanakannya dengan penuh taat, beramanah dan berintegriti serta jangan sesekali mengutamakan kepentingan diri sendiri atau pihak tertentu.

“Pastikan semua urusan kerajaan berjalan atas prinsip pemisahan kuasa dan ini bermakna segala tindakan atau keputusan yang diambil haruslah berpandukan peraturan yang sudah digubal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Penganugerahan Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA) dan Felo Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Seramai 395 graduan dianugerahkan DPA INTAN pada istiadat berkenaan. Program DPA INTAN adalah kursus mandatori yang dilaksanakan sejak 1977 bagi melahirkan pegawai PTD yang memiliki komitmen, pengetahuan, kemahiran dan kompetensi tinggi dalam bidang pengurusan awam.

Beliau berkata, kepelbagaian dan kerumitan bidang tugas PTD menjadikan PTD sebagai tulang belakang jentera pentadbiran kerajaan yang berfungsi bukan saja sebagai ‘think-tank’ (badan pemikir), malah penasihat kepada Kerajaan.

“PTD adalah pemikir, perancang dan pelaksana yang terbabit secara langsung dalam pembangunan negara, oleh itu peranan ini perlu diteruskan supaya skim PTD terus kekal relevan pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sektor perkhidmatan awam yang cemerlang akan mendokong pembangunan semula Malaysia, sekali gus kembali menjadikannya sebagai ‘Harimau Asia’.

Justeru, katanya, menjadi tanggungjawab semua penjawat awam untuk menyahut cabaran itu serta bersedia membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia pulih dan kembali menjadi ‘Harimau Asia’ semula.

“Ini seharusnya menjadi suatu iltizam yang penting khususnya kepada semua penjawat awam kerana perkhidmatan yang cemerlang akan mendokong pembangunan semula Malaysia yang dahulunya pernah digelar ‘Harimau Asia’.

“Harimau Asia adalah gelaran kepada negara memiliki kadar pertumbuhan yang tinggi dan melalui perindustrian pesat pada 1990-an. Perdana Menteri kita (Tun Dr Mahathir Mohamad) yakin bahawa Malaysia akan kembali sebagai ‘Harimau Asia’ apabila pelaburan asing mula meningkat masuk ke dalam negara.

“Malaysia kini menduduki kedudukan ke-25 dalam Indeks Daya Saing Global edisi 2018. Ini bermakna Malaysia masih lagi terkebelakang dalam penyediaan kecekapan untuk persekitaran perniagaan yang kondusif.

“Ini juga bermakna kita semua, penjawat awam khususnya, harus bekerja lebih keras lagi untuk memperbaiki kedudukan Malaysia bagi meningkatkan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) yang seterusnya akan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X