Selasa, 30 Oktober 2018 | 2:01pm
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, menerima replika cek sebanyak RM 1.7 Juta daripada Pengarah Urusan dan Rakan Operasi, McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar, ketika Majlis Penyerahan Pek “Kembali ke Sekolah” sempena sambutan Hari Kanak-kanak Kebangsaan dan Bulan Komuniti McDonald’s anjuran McDonald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia di Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya, Bangsar. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Najib perlu bertanggungjawab atas kelakuan memalukan - Maszlee

KUALA LUMPUR: Tindakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang bingkas bangun dari tempat duduk serta mengugut pihak produksi Al Jazeera untuk keluar meninggalkan set pada satu wawancara khas, baru-baru ini memperlihatkan sikap tidak profesional.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, beliau sebagai mantan Perdana Menteri seharusnya lebih bertanggungjawab dan budiman.

“Jangan lari daripada tajuk dan anda perlu bertanggungjawab, malu lah.

“Kini beliau cuba alihkan tumpuan mengenai tindakannya itu kepada isu pendidikan percuma pula (entri di Facebook Najib).

“Baru-baru ini beliau dipersoal mengenai kehilangan wang RM36 juta yang diberikan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil pada zaman kepimpinannya. Mana pergi ghaibnya duit berkenaan?” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pek ‘Kembali ke Sekolah’ anjuran McDonald’s Malaysia di sini, hari ini.

Program Pek Kembali ke Sekolah yang memasuki tahun kedua penganjuran iitu adalah kerjasama antara Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC) dengan Kementerian Pendidikan.

Turut hadir, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar.

Seramai 17,000 kanak-kanak sekolah rendah miskin bandar menerima pek set pakaian sekolah baharu bernilai RM100 setiap seorang.

Sementara itu, Maszlee juga berkata pihak kementerian akan melancarkan kempen membaca pada tahun depan iaitu ‘Dekad Membaca Kebangsaan’ dan juga kempen nilai murni.

“Kita berharap pihak swasta yang lain termasuk McDonald, membantu kita ke arah menerapkan nilai terbabit.

“Bagi kempen membaca, saya sarankan McDonald mengadakan perpustakaan dan pihak kementerian dari bahagian penerbitan akan salurkan bahan,” katanya.

Berita Harian X