Selasa, 30 Oktober 2018 | 2:48pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto Asyraf Hamzah

Harga rumah baharu turun 10 peratus tanpa SST

KUALA LUMPUR: Harga rumah baharu belum dibina turun 10 peratus selepas pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kerajaan memutuskan untuk tidak mengenakan cukai kerana ingin merangsang sektor hartanah supaya harga rumah boleh diturunkan.

“Sebelum ini, cukai barang dan perkhidmatan (GST) dikenakan enam peratus terhadap perkhidmatan pembinaan.

“Justeru, langkah ini diharap dapat membantu menurunkan harga rumah yang bakal dibina,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) yang meramalkan berlaku penjimatan selepas kerajaan mengecualikan SST terhadap binaan asas dan perkhidmatan pembinaan.

Guan Eng berkata, penurunan harga rumah baharu bagaimanapun hanya tertakluk kepada perumahan jenis bukan harga terkawal (swasta).

“Untuk rumah sedia ada, itu isu lain... tunggulah Jumaat ini,” katanya sambil merujuk kepada pembentangan Belanjawan 2019, 2 November ini.

Berita Harian X