Selasa, 30 Oktober 2018 | 4:55pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Liew Vui Keong. - Foto BERNAMA

'Hutang darah dibayar darah bukan penyelesaian'

KUALA LUMPUR: Hukuman mati terhadap pesalah jenayah membabitkan kematian tidak semestinya meredakan penderitaan dan trauma keluarga mangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Liew Vui Keong, berkata kerajaan memahami perasaan keluarga mangsa dan keputusan memansuhkan hukuman mati diakui sukar dibuat namun perlu dilakukan.

“Keluarga mangsa perlu berdepan dengan pelbagai pihak seperti polis dan media. Ia adalah proses yang traumatik.

“Kita faham penderitaan ditanggung keluarga mangsa jenayah membabitkan kematian, tetapi kerajaan berpandangan kita perlu bergerak ke hadapan.

“Perlu diakui, hukuman mati tidak lagi sesuai. Hutang darah dibayar darah bukan penyelesaian,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, hari ini.

Mengulas cadangan membincangkan keputusan pemansuhan hukuman mati dalam jawatankuasa khas Parlimen, Vui Keong berkata, perkara itu akan dipertimbangkan selepas Pejabat Peguam Negara selesai meneliti proses pemansuhan.

“Buat masa ini, proses memansuhkan hukuman mati masih pada peringkat Pejabat Peguam Negara, kajian mengenai undang-undang yang relevan masih dilakukan sebelum diserah kepada Kabinet.

“Ia dijangka selesai bulan depan selepas pembentangan Bajet 2019,” katanya.

Berita Harian X