Rabu, 31 Oktober 2018 | 11:55am
ABDUL Hadi mengetuai rombongan peserta himpunan bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) ke dalam bangunan Parlimen untuk menyerahkan memorandum itu kepada wakil Jabatan Perdana Menteri. - NSTP/Faris Fuad

Presiden PAS ketuai rombongan serah memorandum bantah ICERD

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengetuai rombongan 10 peserta himpunan bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) ke dalam bangunan Parlimen, hari ini.

Mereka akan menyerahkan memorandum bantahan itu kepada wakil Jabatan Perdana Menteri yang antara lain bagi menzahirkan kebimbangan terhadap usaha menghapuskan hak Bumiputera dalam perlembagaan Malaysia.

Terdahulu, lebih 100 peserta berjalan dari kawasan Tugu Negara bermula jam 10.30 pagi sebelum berhenti kira-kira 100 meter dari pintu pagar bangunan Parlimen selepas dihalang anggota dan pegawai polis yang berkawal di situ.

Kehadiran individu terbabit mewakili pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Mereka dilihat memegang beberapa sepanduk ‘ICERD adalah Malayan Union 2.0’ dan ‘Jangan Jual Kedaulatan Negara’ sambil melaungkan ‘Bantah ICERD’ dan ‘Allahuakbar’.


PESERTA himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di hadapan bangunan Parlimen. - NSTP/Asyraf Hamzah

PESERTA himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di hadapan bangunan Parlimen. - NSTP/Asyraf Hamzah

Jumaat lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy mengesahkan Kerajaan Persekutuan komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia termasuk melaksanakan ICERD pada suku pertama tahun depan.

Katanya, komitmen itu bukan hanya daripadanya sendiri, malah, daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof.

Berita Harian X