Rabu, 31 Oktober 2018 | 12:20pm
TUN Dr Mahathir bersalaman dengan sebahagian tetamu yang hadir pada pelancaran Dasar Kebangsaan mengenai Industri 4.0 atau dikenali sebagai Industri4WRD di Menara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

Runding dulu, baru tandatangan ICERD - Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) hanya akan ditandatangani selepas berunding dengan semua kaum di Malaysia, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri menyifatkan, latar belakang demografi Malaysia yang menyaksikan pelbagai lapisan kaum dan bangsa hidup bersama amat sensitif kepada perkara tertentu.

Sehubungan itu, katanya, langkah libat urus perlu dilaksanakan bagi mendapat persetujuan berhubung konvensyen berkenaan, sebelum kerajaan mencatur sebarang keputusan muktamad.

“Kita akan tandatangan selepas kita runding dengan semua kaum di Malaysia, kerana perkara ini bukan mudah memandangkan negara ini ada pelbagai kaum.

“Masing-masing sensitif terhadap perkara-perkara tertentu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Dasar Kebangsaan mengenai Industri 4.0 atau dikenali sebagai Industri4WRD, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Dorell Leiking; Timbalannya, Dr Ong Kian Ming; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub serta Presiden Persekutuan Perkilangan Malaysia (FMM), Datuk Soh Thian Lai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy, pada 26 Oktober lalu dilaporkan berkata Kerajaan Persekutuan komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia, termasuk ICERD pada suku pertama tahun depan.

Katanya, komitmen itu bukan hanya daripadanya sendiri, malah disokong Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Berita Harian X