Rabu, 31 Oktober 2018 | 1:03pm

Tidak ada maklumat berhubung hasil jualan tanah RM2 bilion - Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui pihaknya dimaklumkan mengenai penjualan sebidang tanah berharga RM2 bilion kepada Bank Negara Malaysia (BNM).

Bagaimanapun, Perdana Menteri menegaskan tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung hasil keuntungan daripada penjualan tanah yang terletak di sebelah Kompleks Sasana Kijang, dekat ibu negara itu.

“Saya hanya tahu bahawa tanah itu dijual kepada Bank Negara Malaysia pada kadar RM2 bilion.

“Apa yang berlaku selepas itu, saya tidak tahu. Mana perginya wang itu, saya tidak tahu. Jelas sekali seseorang dalam BNM tahu mengenainya dan mereka sedang menyiasat isu berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Dasar Kebangsaan mengenai Industri 4.0 atau dikenali sebagai Industri4WRD, di Menara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Dorell Leiking; Timbalannya, Dr Ong Kian Ming; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub serta Presiden Persekutuan Perkilangan Malaysia (FMM), Datuk Soh Thian Lai.

Empat pegawai BNM, hari ini dilaporkan mendapat arahan untuk ‘direhatkan’ bagi memberi laluan penyiasatan perolehan sebidang tanah bernilai RM2 bilion pada awal tahun ini.

Penjualan tanah yang diumumkan Kementerian Kewangan, pada Januari lalu, dibuat selepas syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dilaporkan membuat pembayaran bernilai AS$600 juta (RM2.4 bilion) kepada International Petroleum Investment Co (IPIC) pada Disember 2017.

Mengulas gesaan Datuk Seri Najib Razak supaya kerajaan berhenti ‘menuding jari’ kepadanya dan memberikan tumpuan kepada isu ekonomi negara, Dr Mahathir menyifatkan kenyataan terbabit sekadar helah untuk mengalih tumpuan.

“Saya nak sertainya dalam meminjam beberapa trilion dolar dan kemudian uruskan bagaimana nak langsaikan hutang itu.

“Kalau beliau boleh beritahu bagaimana, contohnya, bawa keluar wang yang disembunyikan, maka kita boleh bayar hutang negara.

“Itu yang sepatutnya beliau katakan, berbanding berterusan cuba mengalih tumpuan daripada masalahnya sendiri,” katanya.

TUN Dr Mahathir menunjukkan buku Dasar Kebangsaan mengenai Industri 4.0, di Menara MITI, hari ini. - NSTP/Aswadi Alias
Berita Harian X