Rabu, 31 Oktober 2018 | 2:55pm
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - Foto Asyraf Hamzah
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - Foto Asyraf Hamzah

Skim insurans B40 tak jejas kemudahan lain

KUALA LUMPUR: Skim insurans untuk golongan B40 yang bakal dilaksanakan tidak menjejaskan perkhidmatan kesihatan sedia ada.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata perkhidmatan kesihatan disediakan kerajaan sebelum ini akan terus dinikmati rakyat seperti biasa.

“Perkhidmatan di klinik dan hospital kerajaan akan terus dinikmati orang ramai.

“Bayaran RM1 bagi mendapatkan rawatan pesakit luar dan RM5 untuk rundingan pakar akan diteruskan.

“Pemberian subsidi ubat-ubatan dan perkhidmatan sedia ada turut dikekalkan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-DAP Bandar Kuching) mengenai status pelaksanaan insurans kesihatan untuk golongan B40.

Dr Dzulkefly berkata, skim insurans peringkat nasional yang akan dilaksanakan untuk golongan B40 bertujuan menzahirkan agenda kerajaan membantu rakyat berpendapatan rendah seperti kandungan manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Skim ini bukan berbentuk insurans, sebaliknya ia akan dibiayai kerajaan untuk golongan miskin dan dilaksanakan agensi di bawah Kementerian Kesihatan.

“Oleh itu, tiada syarikat insurans swasta akan dilantik bagi menguruskan skim berkenaan,” katanya.

Berita Harian X