Rabu, 31 Oktober 2018 | 9:01pm
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar. - Foto Danial Saad
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar. - Foto Danial Saad

Tanah terbiar dipulihkan jadi hutan kekal

KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan di seluruh negara akan dipulihkan menjadi kawasan hutan dalam langkah kerajaan ‘menghijaukan’ separuh daripada keseluruhan keluasan tanah.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar, berkata kerajaan turut bercadang melancarkan program besar-besaran untuk memulihkan tanah terbiar sebagai kawasan ekonomi baharu berasaskan Pengurusan Hutan Lestari, membabitkan sektor korporat.

“Kita akan wujudkan sistem untuk menggunakan tanah terbiar ini dan tanam pokok dikehendaki siapa-siapa pun (yang berminat melabur), mungkin kitar (tanaman) dalam lima tahun atau 10 tahun untuk diguna pakai kembali sebagai usaha mendapatkan dana.

“Pada masa sama, ada tanah di kawasan ‘central spine’ yang hilang, kawasan ini akan ditanam sebagai hutan kekal dan tidak boleh dibalak sebagai hutan mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) bagi pihak kementerian di Dewan Rakyat, hari ini.

Xavier berkata, statistik terkini menunjukkan hanya 43.8 peratus daripada keluasan tanah negara diliputi hutan.

“Sepatutnya kita kena ada 50 peratus, maka untuk kembalikan kawasan hutan ini menjadi 50 peratus, kena guna pakai dua-dua rancangan ini,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X