Rabu, 31 Oktober 2018 | 9:24pm
MENTERI Wilayah, Khalid Abdul Samad. - Foto Saddam Yusoff

Pihak swasta tidak kapit tayar bermula esok

KUALA LUMPUR: Bermula esok, tindakan kapit tayar di sekitar ibu negara tidak lagi dilakukan pihak swasta.

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad, berkata tindakan menamatkan perkhidmatan syarikat swasta terbabit dilakukan bagi mengelak rakyat terbeban.

“Tindakan clamping (kapit tayar) tidak lagi dilakukan pihak swasta bermula esok sebab pihak swasta ini mempunyai kuota 1,000 kapit tayar sebulan.

“Mereka mengejar kuota itu dan apabila ada sedikit kesilapan, terus kapit. Mereka tidak kisah dan apabila pemilik kenderaan datang, mereka kenakan bayaran RM100.

“Keadaan ini yang membuatkan kita terpaksa menamatkan perkhidmatan ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) bagi pihak kementerian di Dewan Rakyat, hari ini.

Khalid mengakui kerajaan mungkin terpaksa membayar ganti rugi atas penamatan perkhidmatan syarikat berkenaan berikutan perjanjian sebelum ini.

Laporan terdahulu menyebut, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyelaraskan aktiviti penguatkuasaan kapit tayar kenderaan dengan pengendali swasta yang dilantik.

Katanya, ia bagi mengelak konflik antara penguat kuasa dengan warga kota yang beranggapan tindakan itu sebagai mengaut keuntungan.

Sementara itu, Khalid berkata, Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 dalam menggalakkan perancangan dan pembangunan mampan di ibu negara diwartakan Jabatan Peguam Negara semalam.

“Draf pelan sudah siap pada 2012, namun kerajaan terdahulu beberapa kali menangguhkan usaha mewartakannya sehingga berlaku kelewatan dan menyebabkan pembangunan tidak mengikut seperti dirancang.

“Dengan pewartaan pelan ini, diharap tidak berlaku lagi pelanggaran pembinaan projek pembangunan di kawasan yang tidak sepatutnya seperti di Taman Tiara, Setiawangsa,” katanya.

Berita Harian X