Khamis, 1 November 2018 | 12:46pm
NAJMIL Faiz Mohd Aris

Hak Melayu, Bumiputera tergugat kalau ICERD ditandatangani

KUALA LUMPUR : Pemuda UMNO menyifatkan keputusan kerajaan untuk menandatangani Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) akan menggugat hak dan keistimewaan Melayu, Bumiputera serta institusi Diraja.

Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohd Aris, berkata ratifikasi ICERD menimbulkan keresahan dalam kalangan Melayu, Bumiputera yang risau kedudukan mereka terancam.

“Isi kandungan perjanjian dalam isu definisi dan skop diskriminasi sangat luas, iaitu segala tindakan bersifat diskriminasi di negara ini termasuk hak istimewa, politik dan undang-undang perlu dihapuskan.

“Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan dan perkara berhubung kait hak keistimewaan Melayu dan anak-anak Sabah dan Sarawak di negara ini, akan dimansuhkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Najmil Faiz berkata, ratifikasi ICERD menimbulkan keresahan kepada Melayu dan Bumiputera Sabah Sarawak.

“Mereka bimbang sekiranya kerajaan meratifikasikan konvensyen ini, yang disifatkan sebagai satu cubaan menghilangkan hak istimewa Bumiputera di negara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Najmil Faiz berkata, implikasi perjanjian ICERD amat besar terhadap asas pembinaan negara sejak merdeka.

Katanya, kesan itu akan mengubah Perlembagaan Persekutuan dan perjanjian kontrak sosial yang termeterai antara pemimpin Melayu, India dan Cina, ketika menuntut kemerdekaan pada 1957.

“Pelobi ICERD sudah lama melobi agar Malaysia meratifikasikan konvensyen antarabangsa ini sejak ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN).

“Ketika itu, BN bersikap tidak melayan desakan untuk menandatangani perjanjian ICERD, yang dilihat akan mengganggu gugat asas pembinaan dan perlembagaan negara,” katanya.

Najmil Faiz berkata, ia semakin menambahkan keresahan rakyat, dalam senario politik negara hari ini, yang didakwa ada usaha pihak tertentu untuk menekan institusi Raja, Islam dan hak istimewa kaum Bumiputera.

“Kerajaan disyor mendapatkan pungutan suara rakyat, khususnya Melayu yang menjadi majoriti rakyat di negara ini.

“Saya bimbang, sekiranya kerajaan meneruskan persetujuan dan perjanjian terhadap konvensyen ini tanpa mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan wakil pemimpin NGO dan politik Bumiputera, boleh mencetuskan provokasi dan rasa tidak puas hati tidak terkawal kepada Bumiputera,” katanya.

Berita Harian X