Khamis, 1 November 2018 | 1:39pm
PROGRAM NILAM diperkenalkan pada tahun 1998 dan ia adalah salah satu usaha Kementerian Pendidikan bagi membudayakan tabiat membaca. - Arkib NSTP

IQNILAM ditangguhkan untuk ditambah baik

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan hari ini memutuskan supaya sistem Indeks Kualiti Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (IQNILAM) ditangguhkan bagi membolehkan ia disemak semula dan ditambah baik.

Menerusi kenyataan dikeluarkan, Kementerian Pendidikan berkata, penangguhan itu dibuat hasil saranan dan permintaan pelbagai pihak, termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Semenanjung supaya pengisian IQNILAM dihapuskan bagi meringankan beban guru.

Menurutnya, kementerian akan menambah baik sistem perekodan dalam buku rekod Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) supaya lebih mesra pengguna.

"Justeru, guru boleh mengisi data pada bila-bila masa dan tidak terikat dengan tempoh empat bulan sekali. Guru hanya perlu masukkan tiga data bacaan murid sahaja iaitu bilangan buku, bilangan bukan buku dan aktiviti susulan.

"Guru juga tidak perlu membuat sebarang pengiraan kerana ia dijana secara automatik," katanya. Katanya, satu garis panduan baharu berkaitan pelaksanaan IQNILAM akan dikeluarkan dalam waktu terdekat selepas mengambil kira kesan kepada beban tugas guru.

Selain itu, katanya, bagi Pengurusan Pusat Sumber Sekolah (PSS) pula, bilangan fail yang perlu dikendalikan dikurangkan daripada 10 fail kepada tiga fail iaitu Fail Pengurusan PSS, Fail Aktiviti PSS dan Buku Stok.

Kementerian turut menegaskan bahawa Guru Penyelaras Bestari/ICT tidak perlu mengendalikan fail-fail Pembestarian Sekolah secara berasingan kerana fail-fail berkaitan yang diwujudkan dalam sistem fail sekolah sudah memadai.

Program NILAM diperkenalkan pada tahun 1998 dan ia adalah salah satu usaha Kementerian Pendidikan bagi membudayakan tabiat membaca, menerapkan budaya ilmu dan melestarikan budaya membaca sepanjang hayat dalam kalangan murid. Kaedah perekodan ini ditambah baik secara berterusan termasuk berpindah dari kaedah manual kepada penggunaan sistem atas talian.

Malah, menerusi hasil penambahbaikan ini, IQNILAM dilaksanakan untuk mengurangkan beban tugas guru, khususnya dalam menjejak dan merekod prestasi bacaan murid.

Guru bertanggungjawab menggunakan hasil rekod ini untuk merancang dan melaksanakan intervensi, khususnya untuk murid yang kadar pembacaan rendah, masalah membaca serta trend kurang minat membaca.

Berita Harian X