Khamis, 1 November 2018 | 4:21pm

Kerajaan bincang ratifikasi ICERD 7 November ini

BANGI: Kerajaan akan mengadakan perbincangan meja bulat bersama badan bukan kerajaan (NGO) Islam bagi membincangkan cadangan meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Perbincangan yang akan diadakan pada 7 November itu akan mengambil kira pandangan dan pendirian NGO Islam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) terhadap isu berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata mesyuarat yang dijalankan secara berperingkat itu akan turut disertai ahli akademik Islam untuk mengumpul pendapat masing-masing.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam mengatakan bahawa kerajaan tidak akan mengesahkan ICERD tanpa sebarang perbincangan lanjut.

“Jadi, sebagai menjawab kenyataan Dr Mahathir, kementerian saya akan mengadakan mesyuarat meja bulat di Putrajaya tidak lama lagi untuk berbincang mengenai perkara itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Perundangan Jenayah Syariah 2018, di sini, hari ini.

Menurutnya, perbincangan yang lebih objektif itu dijangka dapat membantu Dr Mahathir menerima lebih banyak input mengenai ICERD secara menyeluruh.

Semalam, lebih 100 peserta berjalan dari kawasan Tugu Negara bermula jam 10.30 pagi sebelum berhenti kira-kira 100 meter dari pintu pagar bangunan Parlimen bagi membantah ICERD.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diiringi timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengetuai rombongan 10 peserta himpunan itu ke bangunan Parlimen.

Kehadiran individu terbabit mewakili pelbagai NGO termasuk Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) turut memegang beberapa sepanduk ‘ICERD adalah Malayan Union 2.0’ dan ‘Jangan Jual Kedaulatan Negara’ sambil melaungkan ‘bantah ICERD’ dan ‘Allahuakbar’.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X