Jumaat, 2 November 2018 | 5:56pm

RM1b bantu miliki rumah pertama

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan dana RM1 bilion untuk membantu golongan berpendapatan RM2,300 ke bawah sebulan, untuk memiliki rumah buat pertama kali.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata dana itu akan diwujudkan Bank Negara untuk membantu golongan terbabit membeli rumah mampu milik berharga sehingga RM150,000.

“Mulai 1 Januari 2019, dana ini tersedia di AmBank, CIMB Bank, Maybank, RHB Bank dan BSN melalui kadar pembiayaan serendah 3.5 peratus.

“Ini akan mengurangkan jumlah bayaran ansuran bulanan pembiayaan oleh peminjam memiliki rumah, seterusnya lebih mudah mendapat pembiayaan.

“Dana ini disediakan untuk dua tahun atau sehingga peruntukan dihabiskan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, untuk pembeli rumah pertama bernilai sehingga RM500,000, kerajaan akan memberi pengecualian duti setem sehingga RM300,000 pertama ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi tempoh dua tahun sehingga Disember 2020.

“Bagi pembeli rumah pertama dengan pendapatan isi rumah sehingga RM5,000, kerajaan akan memperuntukkan RM25 juta kepada Cagamas Berhad.

“Ia bertujuan menyediakan jaminan pajak gadai bagi membolehkan peminjam mendapat pembiayaan lebih tinggi, termasuk bayaran deposit.

“Langkah ini dijangka memberi penjimatan kos antara tujuh sehingga 11 peratus kepada pembeli rumah, selain daripada apa-apa potongan diskaun ditawarkan oleh pemaju,” katanya.

Berita Harian X