Jumaat, 2 November 2018 | 6:19pm
- Foto Hiasan
- Foto Hiasan

Ibu bapa 30,000 pegawai lantikan kontrak dapat kemudahan perubatan

KUALA LUMPUR: Kemudahan perubatan kepada 30,000 pegawai lantikan kontrak di dalam perkhidmatan awam dilanjutkan kepada ibu bapa mereka bagi memastikan golongan itu menikmati kemudahan sama seperti penjawat awam tetap, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata untuk tujuan itu, kerajaan memperuntukkan RM10 juta setahun sebagai​​​​​​ mengiktiraf peranan serta sumbangan mereka.

“Selain itu, kemudahan Cuti Kuarantin turut dipanjangkan kepada pegawai lantikan kontrak yang anaknya menghidap penyakit berjangkit bermula 12 November ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat hari ini.

Semasa membentangkan belanjawan bertemakan ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera’, Guan Eng berkata kerajaan juga meluluskan kemudahan Cuti Tanpa Rekod selama tujuh hari kepada pegawai beragama Islam yang ingin menunaikan ibadah umrah sepanjang tempoh perkhidmatan.

Bagi 201,600 penjawat awam yang bukan beragama Islam pula, Lim berkata kemudahan cuti tanpa rekod dipanjangkan untuk tujuan keagamaan golongan terbabit.

Dalam pada itu, Lim berkata terdapat sembilan tumpuan yang dicadangkan kerajaan menerusi Belanjawan 2019 sebagai usaha meningkatkan peluang pekerjaan dan kebolehpasaran tenaga kerja selain mengatasi isu pengangguran terutama dalam kalangan belia.

Justeru, katanya kerajaan akan melaksanakan dua program di bawah dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) iaitu Perantisan dan Program Peningkatan Kebolehpasaran Graduan (Generate) untuk dimanfaatkan 4,000 belia lepasan sekolah serta graduan membabitkan peruntukan RM20 juta.

Menurutnya, bagi menggalakkan peluang pekerjaan golongan berusia 60 tahun dan ke atas, caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi majikan akan dikurangkan daripada 6 peratus kepada 4 peratus bermula 1 Januari depan.

“Golongan ini (60 tahun dan ke atas) tidak perlu mencarum dan oleh yang demikian, pendapatan boleh guna mereka akan meningkat. Potongan cukai tambahan akan diberi kepada majikan ke atas perbelanjaan penggajian golongan itu dengan had saraan sebanyak RM4,000 sebulan,” katanya.

Berhubung kebajikan pesara kerajaan, Guan Eng berkata kerajaan akan memberi bantuan RM500 secara ‘one-off’ atau sekali saja kepada mereka yang layak, manakala kenaikan gaji minimum RM1,100 akan dilaksanakan di seluruh negara bermula 1 Januari 2019.

Sementara itu, katanya potongan cukai tambahan akan diberi kepada syarikat yang menggaji bekas banduan dengan had jumlah saraan sebanyak RM4,000 sebulan.

Katanya, langkah terbabit yang diterima daripada portal Belanjawan 2019 itu diambil kira dalam memastikan bekas banduan tidak ketinggalan dalam arus perdana serta dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Guan Eng juga berkata, bagi memperkasakan pasaran buruh, undang-undang buruh akan dikaji semula selain menubuhkan Mahkamah Rayuan Perusahaan yang bertujuan mempercepatkan penyelesaian pertikaian antara majikan dan pekerja.

Katanya bagi mengurangkan jurang pendapatan, kerajaan akan melaksanakan peraturan kepada syarikat tersenarai supaya mereka memaparkan maklumat di dalam laporan tahunan mengenai nisbah gaji tertinggi, gaji median serta nisbah bayaran gaji tertinggi dan terendah.

“Selain itu, syarikat juga hendaklah menyatakan rancangan penambahbaikan mengenai kaedah purata gaji pekerja,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X