Jumaat, 2 November 2018 | 6:33pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, menunjukkan buku Belanjawan selepas selesai pembentangan Belanjawan 2019 di Parlimen. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

RM314.5 bilion peruntukan Belanjawan 2019

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2019, belanjawan pertama di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, akan memperuntukkan sejumlah RM314.5 bilion dalam perbelanjaan berbanding peruntukan kira-kira RM290.4 bilion pada 2018.

Ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata daripada jumlah itu, RM259.8 bilion adalah bagi perbelanjaan mengurus dan RM54.7 bilion lagi untuk perbelanjaan pembangunan.

“Peruntukan ini tidak termasuk simpanan luar jangka berjumlah RM2 bilion, katanya ketika membentangkan belanjawan sulungnya.

Di bawah peruntukan pembangunan, katanya sektor ekonomi menerima agihan tertinggi sebanyak RM29.2 bilion yang merangkumi pengangkutan, perdagangan, industri, tenaga dan kemudahan awam dan pertanian.

Sektor sosial akan menerima sejumlah RM15.2 bilion, sektor keselamatan diperuntukkan RM7.1 bilion dan sektor pentadbiran am sebanyak RM3.2 bilion.

Menurut Guan Eng, peruntukan pembangunan menyaksikan peningkatan daripada RM44.9 bilion pada 2017 kepada RM54.9 bilion dan RM54.7 bilion pada 2018 dan 2019 masing-masing.


LIM Guan Eng, menjelaskan parti itu akan meletakkan calon PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, Pahang. - Foto MIKAIL ONG

“Sebab utama yang menyumbang kepada peningkatan ini adalah pengelasan semula apa yang dahulunya digolongkan sebagai peruntukan mengurus, kepada peruntukan pembangunan yang berjumlah RM6.9 bilion pada tahun 2018 dan RM9.7 bilion pada tahun 2019,” katanya.

Guan Eng memberikan contoh pengelasan semula adalah pembayaran kepada Prasarana untuk projek pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) dan pembayaran kepada Suria Strategic Energy Resources untuk projek saluran paip gas.

Sebelum ini, katanya perbelanjaan tersebut dilabelkan sebagai perbelanjaan mengurus walaupun sebenarnya ia adalah perbelanjaan pembangunan.

“Perbelanjaan lain yang serupa adalah bayaran sewa ataupun bayaran penyelenggaraan untuk pembinaan bangunan PDRM (Polis DiRaja Malaysia) dan pengubahsuaian sekolah,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X