Jumaat, 2 November 2018 | 8:52pm

Bantu orang buta dalami agama, al-Quran

KUALA LUMPUR: Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) menganggap peruntukan RM150 juta yang turut mengambil kira penyediaan modul pembelajaran agama menggunakan braille sebagai di luar jangkaan.

Yang Dipertuanya, Jasmadin Budin, berkata berita gembira itu sangat mengejutkan orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan kerana peruntukan untuk tujuan itu tidak pernah diumumkan dalam belanjawan sebelum ini.

“Cuma diharapkan dana ini dapat digunakan secara menyeluruh supaya OKU yang tidak dapat melihat seperti kami juga dapat mempelajari agama, khususnya mendalami al-Quran seperti masyarakat normal,” katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pembentangan Belanjawan 2019 yang memperuntukkan sebanyak RM150 juta untuk melaksanakan program termasuk pembinaan masjid dan surau di seluruh negara, inisiatif ‘Khaira Ummah’ untuk melahirkan lebih ramai profesional dalam kalangan huffaz dan modul pembelajaran agama dengan penggunaan braille.

Jasmadin berkata, program memperkasakan pembangunan al-Quran braille perlu diberi penekanan yang menyeluruh, bukan setakat memfokuskan kepada percetakannya.

“Saya lihat peruntukan ini amat bermanfaat supaya lebih banyak al-Quran braille dapat dicetak tetapi usaha ini tidak mencukupi sekiranya tidak ada silibus pengajian konkrit, iaitu bermula dengan Iqra’ bagi mereka yang langsung tidak mengenal huruf.

“Kemudian, perlu juga difikirkan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian dan bagaimana untuk membantu OKU ini yang tinggal di kawasan yang jauh daripada lokasi pengajian supaya dapat turut serta,” katanya.

Beliau berkata, PERTIS berharap kerajaan menerusi agensi yang berkaitan dapat berkolaborasi dengan pihaknya kerana mereka satu-satunya pengedar al-Quran braille yang disahkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Saya harap dana ini dapat diagihkan sebaik mungkin kerana walaupun kami buta, biarlah sekurang-kurangnya celik membaca al-Quran.

“Perkara ini juga amat penting bagi golongan masyarakat kita yang bukan dilahirkan buta, maka mereka lebih perlu dibantu dengan memberikan sokongan emosi dan didikan agama termasuk dengan kaedah pengajaran al-Quran,” katanya.

Berita Harian X