Ahad, 4 November 2018 | 10:49am

KWSP boleh melabur unit hartanah - Dr M

HULU LANGAT: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diberi ‘lampu hijau’ untuk membuat pelaburan unit hartanah menerusi sistem pemilikan rumah FundMyHome, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, sistem terbaharu berteraskan teknologi dan inovasi itu diyakini berupaya meningkatkan kadar pemilikan kediaman dalam kalangan rakyat, sekali gus merealisasikan matlamat kerajaan untuk membina sejuta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun.

Beliau berkata, pelaburan dalam sektor hartanah tidak pernah menyaksikan sebarang penyusutan kadar pulangan pelaburan, justeru ia antara bentuk penjanaan pendapatan paling dinamik di pasaran ketika ini.

“Janji bina sejuta rumah dalam tempoh 10 tahun bukan mudah, tapi ini janji kita dan akan ditunaikan cuma ketika buat janji, terutama waktu Pilihan Raya Umum (PRU) memang mudah.

“Kita boleh janji apa saja, asalkan dapat sokongan, tapi nak tunaikan janji, tidak semudah macam buat janji. Sebab itu bila PH (Pakatan Harapan) ambil alih kerajaan, wujud kekhuatiran untuk merealisasikan janji ini.

“Kemudian wujud pula masalah lambakan rumah tidak terjual berikutan pelbagai faktor seperti tiada padanan pendapatan antara pembeli dan syarat pembiayaan oleh institut perbankan,” katanya pada ucaptama pelancaran FundMyHome, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad; Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Pengasas Eco World Development Group Berhad, Tan Sri Rashid Abdul Manaf; Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Global Kumpulan Maybank, Datuk Muzaffar Hisham serta Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan CIMB Bank Berhad, Datuk Kong Sooi Lin.

Portal hartanah, EdgeProp.my selaku penyelaras mekanisme terbaharu pemilikan rumah, menerusi FundMyHome.com akan menawarkan kira-kira 1,000 unit kediaman pada fasa pertama pelancaran, merangkumi nilai hartanah bawah RM500,000.

Proses pemilikan hanya memerlukan empat langkah pendaftaran, iaitu dengan melayari portal FundMyHome.com, kemudian pilih rumah yang ingin dibeli dan menjelaskan bayaran dua peratus daripada harga asal unit hartanah sebelum satu tawaran komitmen akan dibuka.

Jika komitmen 80 peratus sebagai baki pembiayaan unit hartanah tidak dicapai dalam tempoh ditetapkan, yuran tempahan akan dipulangkan tanpa sebarang caj faedah.

Langkah terakhir ialah pembeli perlu melunaskan baki bayaran 18 peratus daripada nilai hartanah, menandatangani dokumen perjanjian dan kediaman berkenaan kini secara rasmi menjadi milik mereka untuk tempoh komitmen tetap selama lima tahun.

Penawaran hartanah berkenaan membabitkan sembilan pemaju iaitu EcoWorld Development Group Berhad; IJM Land Berhad; IOI Properties Group Berhad; Mah Sing Group Berhad; Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS); Permodalan Nasional Berhad (PNB) Development Sdn Bhd; Sunway Berhad; Trinity Group Sdn Bhd dan UEM Sunrise Berhad.

Menerusi konsep FundMyHome, pembeli rumah mempunyai pilihan sama ada untuk menjual atau terus menghuni kediaman masing-masing selepas tempoh komitmen tetap, iaitu lima tahun.

Mereka yang memilih untuk terus mendiami kediaman boleh membiayai semula rumah menerusi FundMyHome.com atau menerusi pinjaman bank, yang ketika ini merangkumi Kumpulan Maybank dan CIMB.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir mengakui mempunyai tanggapan skeptikal dan sukar mempercayai keberkesanan mekanisme baharu berkenaan, namun akan bersikap terbuka untuk melihat kejayaan yang bakal diraih kelak.

“Skim ini mampu beri pulangan kepada pelabur menerusi sektor hartanah dalam jangka tertentu apabila mereka menjual pegangan.

“Ia skim yang sangat hebat sampai saya sendiri pun tidak percaya. Mungkin saya akan percaya apabila lihat ia berjaya kelak,” katanya mengundang tawa dalam kalangan hadirin.

PERDANA Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bergambar bersama penerima rumah sempena pelancaran FundMyHome di Hulu Langat, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
Berita Harian X