Ahad, 4 November 2018 | 11:59am
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir pada Majlis Pelancaran Projek Perintis Program Food Bank Malaysia Peringkat Negeri Kelantan di Pasaraya Besar Giant, di Tunjong. - Foto Fathil Asri

Program Food Bank Malaysia bantu golongan memerlukan - TPM

KOTA BHARU: Program Food Bank Malaysia menjadi titik permulaan kepada usaha kerajaan meringankan kesan kenaikan kos sara hidup dan mengurangkan pembaziran makanan di kalangan rakyat Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata program yang dalam peringkat percubaan itu satu inisiatif untuk mengumpul makanan yang dihasilkan daripada peruncitan, perhotelan dan restoran, untuk diagihkan lebihan makanan untuk golongan kurang berkemampuan.

Beliau berkata, program dikendalikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan dilaksanakan menerusi dua fasa iaitu projek perintis bermula sejak Ogos sehingga Disember ini, manakala fasa kedua iaitu pelaksanaan secara menyeluruh di seluruh negara bermula Januari depan.

“Statistik dikeluarkan oleh SWCorp, rakyat Malaysia menjana 15,000 tan sampah makanan setiap hari dan daripada jumlah itu, 3,000 tan masih boleh dimakan dan sekiranya ia diagihkan kepada pihak yang memerlukan, ia boleh memberi manfaat kepada hampir dua juta rakyat Malaysia.

“Golongan sasar bagi program ini adalah penerima yang terdiri daripada isi rumah berpendapatan kurang RM930 sebulan dan berdasarkan maklumat eKasih, seramai 186,354 ketua isi rumah berada dalam paras garis kemiskinan.

“Melalui Program Food Bank Malaysia ini juga, bantuan akan disalurkan kepada rumah kebajikan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menempatkan anak yatim dan warga emas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Projek Perintis Program Food Bank Malaysia Peringkat Negeri Kelantan di Pasaraya Besar Giant, di Tunjong.

Turut hadir, Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Pengarah Undang-Undang dan Setiausaha Syarikat GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd (GCH), David Chiam.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata, selain membantu menangani kos sara hidup, Program Food Bank Malaysia juga bertujuan mewujudkan struktur pengurusan lebihan makanan lebih tersusun.

“Objektif Program Food Bank Malaysia juga adalah untuk membantu industri peruncitan yang mana program ini dapat mengatasi pembaziran makanan.

“Justeru, saya mengambil kesempatan untuk menjemput syarikat pasar raya, pengilang dan industri perhotelan untuk turut serta bersama-sama KPDNHEP dalam menjayakan Program Food Bank Malaysia ini,” katanya.

Berita Harian X