Ahad, 4 November 2018 | 2:46pm
Pengerusi DAP Sabah, Datuk Stephen Wong. - Foto Mohd Adam Arinin

RM1 bilion lebihan peruntukan untuk Sabah di bawah PH

KOTA KINABALU: Sabah menerima lebihan hampir RM1 bilion perbelanjaan pembangunan dalam Belanjawan 2019 berbanding peruntukan disediakan dalam Bajet 2018 yang dibentangkan kerajaan Barisan Nasional (BN), tahun lalu.

Pengerusi DAP Sabah, Datuk Stephen Wong, berkata lebihan itu jelas dilihat berdasarkan peruntukan RM5 bilion disediakan kepada Sabah seperti dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat, Jumaat lalu.

Katanya, jika dibandingkan dengan Bajet 2018 oleh kerajaan BN, Sabah hanya diberi RM4.1 bilion sekali gus jelas menunjukkan negeri ini menerima lebih banyak peruntukan di bawah pentadbiran baharu Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, peruntukan RM RM5 billion untuk Sabah dan RM4 bilion untuk Sarawak itu adalah sebahagian perbelanjaan pembangunan kerajaan Pusat yang keseluruhannya berjumlah RM54.6 billion.

“Ramai terima mesej mengelirukan rakyat dan bersangka buruk bahawa Belanjawan 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan memperuntukkan RM271 billion untuk Semenanjung manakala Sabah hanya mendapat RM5 billion dan Sarawak RM4 billion.

“Ini bukan saja tidak betul tetapi seolah-olah membodohkan rakyat Sabah. Saya akan perjelaskan... anggaran perbelanjaan kerajaan Persekutuan pada 2019 ialah RM314.5 billion dan ia dibahagikan kepada dua iaitu Perbelanjaan Mengurus RM259.8 billion dan Perbelanjaan Pembangunan RM54.6 billion,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wong berkata, Sabah turut menerima peruntukan lebih dua kali ganda untuk Bekalan Elektrik Luar Bandar kepada RM430 juta pada tahun depan berbanding hanya RM181.8 juta yang disediakan BN pada tahun ini.

Turut bertambah, katanya, peruntukan untuk Bekalan Air Luar Bandar Sabah yang dinaikkan kepada RM295.5 juta pada tahun depan berbanding RM129 juta pada tahun ini.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, berkata Sabah turut menerima manfaat menerusi peruntukan perbelanjaan mengurus RM259.8 billion yang disediakan kerajaan Pusat pada tahun depan.

“Sebahagian besar perbelanjaan mengurus ialah emolumen (gaji) dan bekalan kemudahan pejabat iaitu untuk semua kakitangan kerajaan dan penjawat awam termasuk guru-guru dan doktor-doktor kita.

“Ia tidak dikategorikan ke mana-mana negeri kerana guru-guru yang dapat gaji sememangnya dari seluruh negara. Ertinya perbelanjaan mengurus RM259.8 billion ini Sabah pun dapat.

“Jangan lagi ditipu dan dikelirukan. Semua fakta ada di laman web kementerian kewangan Malaysia treasury.gov.my,” katanya.

Berita Harian X