Selasa, 6 November 2018 | 2:09pm
MENTERI Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man. - Foto Azhar Ramli

Kaji semula perkongsian cukai pelancongan - Azlan Man

KANGAR: Kerajaan Persekutuan digesa mempertimbangkan semula pelaksanaan perkongsian 50 peratus hasil kutipan bagi cukai pelancongan diterima negeri.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, sektor pelancongan di Perlis masih baharu dan perkongsian hasil kutipan cukai pelancongan sebanyak 50 peratus dilihat sedikit membebankan kerajaan negeri.

“Kita bukan seperti Melaka, Pulau Pinang dan negeri lain yang terkenal dengan tempat pelancongan yang tersendiri.

“Namun di Perlis, kita masih dalam proses membangunkan industri ini dan belum gah seperti negeri yang saya sebutkan tadi,” katanya ketika ditemui di Kampung Wang Besar hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan cadangan perkongsian cukai berkenaan menerusi pembentangan Belanjawan 2019 yang bertujuan membolehkan kerajaan negeri menerima hasil tambahan secara agregat dianggarkan berjumlah RM50 juta apabila aktiviti pelancongan dipergiatkan.

Azlan berkata, meskipun kedatangan pelancong ke negeri itu meningkat tahun lalu, namun mereka tidak menyumbang banyak kepada hasil pendapatan negeri.

“Walaupun tahun lalu hampir 2.4 juta pelancong direkodkan masuk ke Perlis, namun mereka hanya singgah di Kuala Perlis sebelum ke Pulau Langkawi, Kedah atau negeri ini dijadikan sebagai transit sahaja.

“Jadi saya harap Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan semula cadangan mereka mengenai perkara ini sebelum ia dilaksanakan tahun hadapan,” katanya.

Berita Harian X