Selasa, 6 November 2018 | 5:03pm
YA'COB Atan (tengah)bersama pucuk pimpinan bahagian membacakan memorendum bantahan ICERD pada sidang media di pejabatnya di Johor Bahru. - NSTP/Mohd Fahmi Mohd Yusof

BERSATU Pulai tolak ICERD

JOHOR BAHRU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Pulai menolak sekeras-kerasnya proses untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Ketua Bahagiannya, Ya’cob Atan, berkata kerajaan tidak seharusnya menurut kehendak sesetengah pihak untuk bersetuju menandatangani ICERD kerana umum sedia maklum Malaysia sudah memiliki kontrak sosial yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Malaysia tidak memerlukan ICERD atau mana-mana konvensyen dari negara luar yang secara langsung menunjukkan kita tidak boleh membuat undang-undang sendiri sehingga terpaksa mengguna pakai perundangan luar.

“Jika Malaysia menandatangani ICERD, jelas menunjukkan negara ini mengamalkan diskriminasi kaum sedangkan selama ini tidak berlaku pun perkara itu dan kita tidak kira bangsa hidup aman dan damai sejak merdeka.

“ICERD jelas menghina Raja Melayu, Majlis Raja-Raja Melayu serta kewibawaan masyarakat Melayu yang selama ini mempersetujui kontrak sosial yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ya’cob berkata, BERSATU Bahagian Pulai akan menyerahkan memorandum bantahan ICERD kepada Setiausaha Agung parti esok bagi membolehkan pucuk pimpinan maklum mengenai isu berkenaan.

Dalam perkembangan lain, BERSATU Bahagian Pulai turut melancarkan Skuad Pantau Harga Barang dalam usaha membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang menerusi kerjasama daripada rakyat.

“Skuad Pantau Harga ini juga berperanan sebagai pemberi maklumat kepada ahli menerusi aplikasi WhatsApp mengenai pergerakan harga barangan dan perkhidmatan kepada KPDNHEP supaya tindakan pantas boleh diambil.

“Ia juga berperanan sebagai jurucakap bagi pihak rakyat mengenai isu berkaitan dengan kepenggunaan selain membantu meningkatkan kesedaran hak pengguna,” katanya.

Berita Harian X