Khamis, 8 November 2018 | 9:20pm
TUN Dr Mahathir Mohamad - Foto SYARAFIQ ABD SAMAD

Jangan salah guna kebebasan bersuara - PM

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan supaya kebebasan bersuara tidak digunakan bagi menimbulkan kekacauan.

Perdana Menteri berkata, walaupun kerajaan menyokong kebebasan bersuara, namun ia tidak sepatutnya digunakan untuk menimbulkan masalah terutamanya dalam isu berkaitan kaum dan agama.

“Kita bersyukur walaupun ada pelampau dan fanatik cuba mencetuskan isu perkauman dan agama, majoriti rakyat kebanyakannya sama ada menolak atau mengabaikannya.

“Tetapi itu tidak bererti kita harus mengambil mudah, bahawa mereka tidak akan dapat merangsang dan memobilisasi secukupnya untuk menimbulkan kerosakan yang tidak ternilai. Jadi, berhati-hatilah,” katanya ketika berucap pada pelancaran koleksi not emas Harapan hasil inisiatif syarikat barang kemas, Poh Kong di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di sini hari ini.

Dalam pada itu Dr Mahathir berkata, pelancaran not emas berkenaan tepat pada masanya ketika Malaysia kini sedang bergerak ke hadapan sebagai sebuah negara bangsa.

“Kerajaan kini sedang meraikan kejayaan selepas berjaya membebaskan negara daripada belenggu kleptokrasi dan rejim yang menindas.

“Bagaimanapun, ia bukan tugas mudah kerana jangkaan rakyat terhadap kerajaan sangat tinggi menjadikan tanggungjawab lebih berat,” katanya.

Berita Harian X