Sabtu, 10 November 2018 | 11:04am
MENTERI Pendidikan yang juga Presiden UIAM, Dr Maszlee Malik berucap pada majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-34 di UIAM Gombak, hari ini. - NSTP/Asyraf Hamzah

PM mahu skim baucar buku diteruskan - Maszlee

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan bersetuju dengan syor Kementerian Pendidikan supaya meneruskan skim bantuan baucar buku kepada mahasiswa.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata beliau membawa perkara berkenaan dalam mesyuarat Kabinet semalam iaitu yang pertama selepas Belanjawan 2019 dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 2 November lalu.

"Kementerian Kewangan bersetuju untuk melihat perkara ini yang bertujuan membantu mengurangkan beban kewangan pelajar institusi pengajian tinggi.

"Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga melahirkan pandangan bahawa bantuan seumpama ini diteruskan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Maszlee berkata, beliau mengucapkan terima kasih atas kesudian Kementerian Kewangan dan Perdana Menteri dalam mempertimbangkan perkara berkenaan.

"Kami berharap akan ada berita menggembirakan dalam waktu terdekat. Seperti saya janjikan sebelum ini, saya akan memastikan kebajikan mahasiswa dijaga.

"Skim baucar buku antara perjuangan saya buat mahasiswa," katanya.

Sementara itu posting di Twitter Maszlee pagi tadi turut mendapat reaksi netizen yang mahu pemberian Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) diteruskan.

Saranan itu antaranya dikemukakan [email protected], hafeez [email protected]_aiman, [email protected] dan Azam [email protected], malah ada berpendapat KADS1M lebih baik dikekalkan berbanding skim baucar buku.


ANTARA komen netizen dalam posting Twitter Maszlee.

Berita Harian X