Sabtu, 10 November 2018 | 12:31pm

Jangan lupa jasa ibu bapa - Raja Zarith Sofiah

JOHOR BAHRU: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah mengingatkan graduan supaya tidak melupakan jasa ibu bapa selepas menamatkan pengajian dan memulakan kerjaya.

Titah baginda ibu bapa graduan banyak berkorban dalam memastikan graduan berjaya dalam pengajian masing-masing.

Baginda merangkap Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bertitah, graduan seharusnya menghargai ibu bapa masing-masing.

“Curahkanlah kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka serta balaslah jasa baik mereka,” titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika mencemar duli menyempurnakan Konvokesyen Ke-61 UTM di sini, hari ini.

Raja Zarith Sofiah bertitah sebagai Canselor, baginda mengambil berat kebajikan dan keadaan penuntut UTM.

Baginda berharap mendapat lebih banyak peluang untuk mendekati, mengenali serta mempelajari lebih lagi berkaitan keluarga, latar belakang dan impian penuntut.

“Segulung ijazah yang diterima hari ini amat bermakna kepada semua graduan.

“Pembangunan dan masa depan negara kita ini akan dicorak, dipimpin dan diteruskan legasinya berdasarkan ilmu yang dipelajari dan diperoleh.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua graduan UTM yang akan menerima ijazah,” katanya.

Raja Zarith Sofiah bertitah, warga UTM dinasihatkan mencurahkan bakti di universiti berkenaan.

“Bakti yang dicurahkan semua kakitangan, mahasiswa dan alumni UTM termasuk bagi meningkatkan komitmen dan menggandakan usaha dalam menjayakan serta memajukan UTM sebagai institusi pengajian tinggi terulung peringkat nasional dan global,” titahnya.

Seramai 3,652 graduan bakal diraikan di majlis konvokesyen berkenaan yang berlangsung selama tiga hari hingga 12 November di Dewan Sultan Iskandar.

RAJA Zarith Sofiah mencemar duli menyampaikan Ijazah kepada graduan pada majlis Konvokesyen Ke-61 UTM di Skudai. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
RAJA Zarith Sofiah mencemar duli menyampaikan Ijazah kepada graduan pada majlis Konvokesyen Ke-61 UTM di Skudai. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Berita Harian X