X
Sabtu, 10 November 2018 | 1:27pm
PANGLIMA Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin (tengah) bergambar bersama anggota TLDM ketika lawatan ke Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) sempena pengunduran tampuk pemerintahan TLDM di Sandakan, hari ini. - Foto Poliana Ronnie Sidom
PANGLIMA Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin (tengah) bergambar bersama anggota TLDM ketika lawatan ke Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) sempena pengunduran tampuk pemerintahan TLDM di Sandakan, hari ini. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Malaysia contoh inisiatif pangkalan laut, rondaan bersama perairan

SANDAKAN: Pendekatan menempatkan pangkalan laut di perairan timur Sabah dan inisiatif rondaan tiga negara menerusi Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) yang dilaksanakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini dijadikan model oleh negara luar bagi mengukuhkan keselamatan perairan masing-masing.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, berkata keadaan itu membuktikan dua inisiatif berkenaan menjadi penanda aras dan berkesan dalam meningkatkan keselamatan maritim di perairan negara.

Katanya, dua pangkalan laut yang ditempatkan di timur Sabah iaitu Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah dan Kapal Auksiliari Pangkalan Laut Tun Azizan berjaya mewujudkan keadaan selamat, dengan kehadiran aset membolehkan tindakan lebih cepat diambil apabila berlaku ancaman.

“Pendekatan menempatkan pangkalan laut kini menjadi tarikan kepada negara luar seperti Indonesia dan Filipina yang nak buat pangkalan sebegini kerana pangkalan laut cuma berada di laut, tidak memerlukan minyak dan bot akan meronda di situ dan semua kemudahan ada.

“Sekiranya ada ancaman tertentu, tindakan daripada pasukan yang ditempatkan di pangkalan laut lebih cepat. Berbanding sebelum adanya pangkalan laut, pasukan mengambil masa yang lama untuk sampai ke lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika lawatan ke Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) sempena pengunduran tampuk pemerintahan TLDM di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Ganesh Navaratnam.

Ahmad Kamarulzaman berkata, kerajaan juga perlu melihat keperluan untuk mewujudkan pangkalan laut di perairan lain dalam negara yang berdepan ancaman susulan keberkesanan inisiatif itu dalam menangani ancaman di pantai timur negeri ini.

Selain itu, katanya, dalam lawatannya ke Filipina baru-baru ini, Indonesia dan Filipina bersetuju bahawa TCA antara Malaysia dan dua negara itu adalah model inovatif yang membantu mewujudkan keselamatan dengan begitu berkesan.

“Mereka menyatakan TCA juga sedang dikaji tiga negara di kawasan utara laut China selatan untuk dilaksanakan,” katanya.

Berita Harian X