Sabtu, 10 November 2018 | 2:21pm
PRESIDEN Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu bergambar bersama orang ramai pada majlis perasmian Konvensyen Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Kelantan 2018 kali ketiga bertempat di Hotel Perdana. - Foto Fathil Asri

Bukan mudah pinda Perlembagaan - Mohamad Sabu

KOTA BHARU: Pelaksanaan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) bukan sesuatu yang mudah kerana perlu melalui proses Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu, berkata sehubungan itu orang Melayu tidak perlu bimbang kerana untuk meminda hak Melayu dan Islam dalam Perlembagaan bukan satu perkara yang mudah.

“Kita menghormati keputusan itu (pelaksanaan ICERD) tapi untuk pelaksanaan di Malaysia ada cara tersendiri iaitu melalui proses perlembagaan.

“(Orang Melayu) tidak perlu bimbang apa-apa sebab nak pinda perlembagaan dan hak Melayu bukan satu perkara yang mudah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, Mohamad merasmikan Konvensyen Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Kelantan 2018 kali ketiga bertempat di Hotel Perdana.

Konvensyen itu turut dihadiri Naib Pengerusi Amanah, Datuk Husam Musa dan Pengerusi AMANAH Kelantan, Wan Rahim Wan Abdullah.

Baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy dilaporkan berkata, kerajaan komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia, termasuk melaksanakan ICERD pada suku pertama tahun depan.

Mengenai penambahan keanggotaan ahli AMANAH, Mohamad tidak terkejut dengan situasi itu malah meluahkan rasa lega kerana difahamkan kira-kira 2,000 ahli baharu mendaftar setiap bulan di negeri ini.

“Negeri lain sudah bermula walaupun agak perlahan tapi semalam kita terima 300 (permohonan) dari Kemaman, Terengganu.

“Faktornya adalah perhitungan politik kita betul iaitu jika ingin memerintah (kerajaan) Pusat mesti ada kerjasama dengan parti lain khasnya kaum lain sebab ia begitu majmuk,” katanya.

Berita Harian X