Sabtu, 10 November 2018 | 2:25pm
WAN Saiful ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan GPMS Wilayah Persekutuan 2018, di ASWARA, hari ini. - NSTP/Mahzir Mat Isa
WAN Saiful ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan GPMS Wilayah Persekutuan 2018, di ASWARA, hari ini. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Pengerusi PTPTN mohon maaf gagal tunai janji

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan, memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana tidak dapat menunaikan janji berkaitan penangguhan bayaran balik pinjaman bagi peminjam bergaji bawah RM4,000 seperti yang diumumkan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Wan Saiful yang juga penulis Buku Harapan, berkata agensi itu sudah cuba mencari mekanisme terbaik untuk merealisasikan manifesto PH sebelum ini, namun gagal.

“Saya antara yang terbabit menulis janji Manifesto PH. Saya yang bertanggungjawab dalam hal ini, termasuk janji menangguhkan pembayaran semula oleh peminjam yang berpendapatan bulanan di bawah RM4,000.

“Saya mohon maaf kepada rakyat. Ketika itu (merangka manifesto), saya tidak tahu hutang negara dan PTPTN sangat besar.

“Hutang PTPTN (ketika itu) hampir RM40 bilion, dan jika janji ini diteruskan, hutang PTPTN akan menjadi bebanan besar kepada negara,” katanya.

Beliau membuat pengumuman maaf terbuka itu ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Wilayah Persekutuan 2018, di sini, hari ini.

Wan Saiful menjelaskan pengurusan PTPTN sudah lama berusaha untuk menyelesaikan hutang PTPTN namun tidak berjaya.

“PTPTN sudah lama nak (cuba) menguruskan pinjaman. Di sini, saya ingin menzahirkan kekaguman kepada pengurusan PTPTN kerana kesungguhan menyelesaikan isu ini,” katanya.

Wan Saiful berikrar untuk cuba menepati janji mengurangkan beban peminjam yang berpendapatan bulanan di bawah RM4,000.

Selain itu, beliau menggesa pucuk kepimpinan parti gabungan PH mengadakan mesyuarat meja bulat untuk membincangkan hala tuju janji manifesto parti politik itu.

“Sudah sampai masanya rakan PH dalam kerajaan mengambil keputusan tuntas berhubung janji manifesto.

“Sudah sampai masanya, semua pucuk pimpinan parti duduk berbincang, janji mana boleh dicapai segera, janji mana yang perlu dilihat semula atau dibatalkan sepenuhnya,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X