X
Sabtu, 10 November 2018 | 6:51pm

LHDN tubuh unit khas pantau kekayaan luar biasa dikongsi di media sosial

KUALA LUMPUR: Satu unit khas ditubuhkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi meneliti dan menyiasat mana-mana individu atau pemilik perniagaan yang menunjukkan sebarang harta kekayaan luar biasa di media sosial.

Pengarah Bahagian Komunikasi Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Syarein Abu Samah berkata, unit itu akan menjalankan risikan lanjut sebelum mengambil tindakan susulan terhadap individu atau pemilik akaun di platform media sosial berkenaan.

“Perkembangan media sosial pada masa kini banyak mempengaruhi kehidupan segelintir individu yang gemar berkongsi mengenai pemilikan barang kemas, jam tangan mewah, beg tangan, kereta mewah atau hartanah.

“Justeru, melalui unit ini LHDN akan semak sama ada individu itu sudah mempunyai rekod pengisytiharan pendapatan atau belum dan sejauh mana kekayaan yang ditunjukkan itu setara dengan rekod berkenaan.

“Jika terdapat keraguan terhadap rekod berkenaan, maka LHDN akan menghantar surat meminta penjelasan daripada mereka,” katanya ketika ditemui dalam Program Tunjuk Ajarku Sifu-Pengamal Media Sosial di Pejabat LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, hari ini.

Menurutnya, mereka yang tidak melakukan kesalahan di bawah akta LHDN tidak perlu bimbang untuk berkongsi kekayaan dan kemewahan masing-masing.

“Apa yang LHDN lakukan ini bukan ingin menyusahkan atau bertindak kejam terhadap mereka sebaliknya kita mahu bersikap adil kepada semua pihak terutama pembayar cukai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah dalam ucapannya berkata, sebagai usaha meringankan beban rakyat, kerajaan mengumumkan Program Khas Pengakuan Sukarela melalui Belanjawan 2019 yang bermatlamat meningkatkan kutipan hasil kerajaan untuk pembangunan negara.

Katanya, program itu juga sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam melakukan reformasi percukaian bagi menggalakkan pembayar cukai untuk tampil secara sukarela mengisytiharkan pendapatan masing-masing.

Katanya, tawaran ini dibuat di mana-mana pejabat LHDN seluruh negara bermula 3 November 2018 dan akan berakhir pada 30 Jun 2019.

“Mana-mana individu atau syarikat yang sebelum ini gagal melaporkan pendapatan mereka atau kurang lapor, perlu mengambil peluang ini kerana selepas tempoh tersebut, penalti yang tinggi (minimum 80 peratus) akan dikenakan,” katanya.

Katanya, program khas berkenaan ditawarkan kepada empat kategori pembayar cukai di mana kadar penalti akan dikurangkan mengikut tempoh pengakuan sukarela dan bayaran cukai dibuat.

Melalui tawaran ini, katanya, pembayar cukai akan dikenakan penalti yang lebih rendah iaitu antara 10 hingga 15 peratus daripada jumlah cukai yang kena dibayar berbanding kadar penalti asal yang lebih tinggi di antara 80 peratus hingga 300 peratus.

Program Tunjuk Ajarku Sifu-Pengamal Media Sosial yang pertama kali dianjurkan bagi meraikan fungsi dan peranan mereka untuk membantu LHDN mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap kepentingan cukai.

Sehingga 30 September lalu, sebanyak 3,483 program pendidikan cukai dianjurkan yang memberi manfaat kepada 137,250 peserta terdiri daripada pembayar cukai dan majikan.

Berita Harian X