Ahad, 11 November 2018 | 10:52am
SULTANAH Nur Zahirah (kiri) diiringi Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar (tengah) berkenan melancarkan buku Beautiful Terengganu dalam lima bahasa sempena majlis santapan malam konvokesyen ke-16, Universiti Malaysia Terengganu (UMT). - NSTP/Rozainah Zakaria

China sumbang dana penyelidikan UMT RM3.1 juta

KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerusi Institut Bioteknologi Marin universiti itu menerima dana sebanyak RM3.1 juta daripada China untuk melakukan penyelidikan dan inovasi.

Naib Canselor UMT, Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar, berkata dana penyelidikan itu adalah hasil daripada pemeteraian jalinan rakan strategik dan kerjasama dengan 10 agensi dari dalam dan luar negara.

Selain itu katanya, UMT juga menerima geran penubuhan Guangdong Province Key Laboratory In Shellfish Research bernilai RM2.3 juta untuk penganjuran bersama konferensi antarabangsa.

“UMT dengan penuh keyakinan melebarkan jaringan dengan mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) dalam bidang penyelidikan oseanografi dengan beberapa universiti di China termasuk Ocean Universiti Of China, Shantou Universiti dan Tianjin Universiti Of Science And Teknologi,” katanya kepada NSTP ketika ditemui pada majlis santapan sempena Majlis Konvokesyen UMT ke-16, di sini, malam tadi.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah turut berangkat ke majlis santapan itu.

Turut hadir Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Yang Dipertua Dewan Undangan negeri (DUN), Yahaya Ali dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A Rahman Yahya.

Dr Nor Aieni berkata, Institut Oseonografi UMT selaku Regional Training Centre (RTC) yang dilantik untuk melaksanakan program Ocean Teacher Global Academy (OTGA) di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) diberi mandat menganjurkan tiga kursus antarabangsa dalam bidang oseanografi.

Mengulas perkembangan terkini hasil penyelidikan di kawasan tanah bencah di Setiu, Dr Nor Aieni berkata, terdapat penemuan baharu selepas penyelidikan dilakukan.

Katanya, terdapat 33 spesis eksklusif paya bakau termasuk lima rekod baharu dan tiga spesies hibrid ditemui.

“Pasukan penyelidik juga menemui 108 rama-rama terdiri dari 50 spesis baharu, 17 spesis baharu siput paya bakau dan 30 spesis tumbuhan hutan gelam,” katanya.

Berita Harian X