Isnin, 12 November 2018 | 1:01pm
KHAIRY Jamaluddin. - NSTP/Roslin Mat Tahir

Bahas Belanjawan 2019 tanpa dendam - KJ

KUALA LUMPUR: Semua Ahli Parlimen tanpa mengira mewakili blok kerajaan atau pembangkang, perlu mengenepikan sentimen membalas dendam atau menyerang ketika membahaskan Belanjawan 2019.

Khairy Jamaluddin (BN-UMNO Rembau) berkata, Ahli Parlimen perlu membahaskan Belanjawan pertama kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dalam semangat Malaysia Baharu dengan positif dan idea bernas demi kebaikan rakyat serta negara.

“Ahli Yang Berhormat, baik rakan saya dari pembangkang mahu pun pihak kerajaan agar membahaskan Belanjawan pertama dalam Malaysia Baharu ini bersemangat positif dan berintikan idea.

“Bukan didorong semangat balas dendam dan berintikan serangan kerana akhirnya perbahasan ini adalah untuk kebaikan semua,” katanya yang mewakili Ketua Pembangkang membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Kerajaan memperuntukkan RM314.5 bilion untuk Belanjawan 2019 berbanding RM290.4 bilion pada Bajet 2018.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ketika membentangkan Belanjawan 2019 yang Bertemakan ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera’ dilaporkan berkata, daripada jumlah terbabit, RM259.8 bilion adalah bagi perbelanjaan mengurus dan RM54.7 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Khairy berkata, Belanjawan 2019 amat penting kerana ia juga adalah ramalan ekonomi untuk tahun depan yang agak malap.

Katanya, kegusaran itu bukan hanya membelenggu rakyat biasa dan syarikat swasta di luar sana, tetapi turut dikongsi badan ekonomi antarabangsa.

“Pendek kata, 2019 bakal menjadi tahun yang mencabar. Rakyat dan syarikat kecil perlu dibantu kerajaan untuk mengharungi angin kencang ini.

“Pasaran bebas sahaja tidak cukup. Terus menyalahkan orang lain saja tidak cukup. Pembatalan projek dan penjimatan saja tidak cukup. Apa yang rakyat perlukan untuk mengharungi ekonomi 2019 adalah harapan.

“Rakyat mahu kerajaan mula menguruskan negara, bukan hanya menyalahkan kerajaan terdahulu. Harapan juga supaya kerajaan merangsang ekonomi dengan idea, bukan membantutkan ekonomi dengan pembatalan demi pembatalan.

“Harapan yang mana kerajaan menyediakan Malaysia untuk masa depan yang masih kabur, bukan hanya melihat semalam yang disulami serangan dan dendam,” katanya.

Berita Harian X