Isnin, 12 November 2018 | 3:10pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bergambar bersama kakitangan Eco Majestic selepas membuat lawatan ke kawasan perumahan FundMyHome pada Majlis Pelancaran FundMyHome di Eco Majestic Semenyih, 4 November lalu. - Foto BERNAMA

Tak perlu ada skim Pak Man Telo...

KUALA LUMPUR: Pembangkang mempersoalkan kaedah pelaksanaan dan mekanisme skim perumahan baharu FundMyHome yang dijana secara pendanaan awam hartanah (property crowdfunding) seperti diumumkan dalam Belanjawan 2019.

Khairy Jamaluddin (BN UMNO-Rembau) berkata, skim itu dilihat mengelirukan dan tidak banyak membantu pembeli.

Menerusi mekanisme baharu itu, katanya, pembeli hanya perlu mengeluarkan 20 peratus daripada harga jualan dan seterusnya memiliki rumah itu untuk tempoh lima tahun tanpa perlu membayar tanggungan bulanan sebelum menjual rumah berkenaan atau membuat pembelian penuh menerusi pembiayaan semula.

Pada masa sama, Khairy berkata, pelabur yang menanggung 80 peratus harga rumah akan mendapat pulangan lima peratus setiap tahun untuk tempoh lima tahun

“Ia berbeza ketika Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan yang terlebih dulu menyediakan alternatif jauh lebih baik.

“Contohnya Skim Rumah Pertamaku (SRP) bermula pada 2011 yang menyediakan pinjaman 100 peratus dan tidak memerlukan pembeli mengeluarkan pendahuluan 10 peratus.

“Kerajaan BN juga melaksanakan program ‘Rent-to-Own’ yang membolehkan penyewa membeli rumah menggunakan wang simpanan yang dikumpul bersekali sepanjang tempoh sewaan.

“Ini baru membantu pemilikan rumah oleh rakyat, bukannya memberi ruang spekulasi harga seperti skim’property crowdfunding’ ini.

“Tak perlu ada skim ni... skim ‘Pak Man Telo’ (piramid) agaknya,” katanya ketika mewakili Ketua Pembangkang membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Khairy berkata, masalah utama dihadapi pembeli adalah sukar mengeluarkan 10 peratus wang pendahuluan untuk membeli rumah.

“Jika seseorang mampu mengeluarkan 20 peratus wang mereka untuk skim berkenaan, sudah tentu mereka tidak mempunyai masalah mengeluarkan 10 peratus wang pendahuluan.

“Kedua, jika selepas lima tahun mereka perlu menjual semula rumah itu bermakna objektif meluaskan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat tidak akan tercapai kerana selepas tempoh itu, rumah berkenaan bukan lagi milik mereka.

“Pembeli turut berdepan risiko kemungkinan rumah tidak dapat dijual selepas tempoh lima tahun dan ketidaktentuan harga rumah tetapi pelabur yang mengeluarkan dana 80 peratus dijanjikan pulangan lima peratus setahun.

“Persoalan lain yang perlu dijawab, apakah selepas lima tahun, cukai keuntungan harta tanah (CKHT) pada kadar 15 peratus atau 10 peratus untuk tahun keenam dan seterusnya perlu dibayar oleh pembeli 20 peratus atau pelabur 80 peratus?

“Ini perlu jelas kerana akan berlaku ketidakadilan ketara memandangkan pelabur 80 peratus menerima pulangan dalam lima tahun manakala pembeli pula berdepan risiko ketidaktentuan,” katanya.

Berita Harian X