Isnin, 12 November 2018 | 10:09pm
GAMBAR fail, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Foto Zunnur Al Shafiq

'Mungkin mereka tak ada grup WhatsApp'

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menyindir Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan pegawai khasnya, Tony Pua kerana mengeluarkan kenyataan bercanggah berhubung penilaian prospek Petronas oleh syarikat penarafan kredit antarabangsa.

Ia susulan Moody’s Investors Service (Moody’s) mengubah unjuran penarafan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) LNG Ltd (PLL) daripada stabil kepada negatif.

Najib berkata, Tony yang juga Ahli Parlimen Damansara, baru-baru ini menyifatkan tindakan Moody’s menurunkan penilaian prospek Petronas itu bukan satu penurunan taraf.

Bagaimanapun, katanya, Guan Eng pula tidak setuju dengan langkah Moody’s untuk menurunkan penarafan Petronas.

“Dua kenyataan bercanggah antara satu sama lain daripada kementerian yang sama. Mungkin mereka tiada grup WhatsApp.

“Terpulang kepada mereka jika tidak mahu mengaku ‘downgrade’ (penurunan taraf) atau tidak bersetuju dengan langkah ‘downgrade’ itu.

“Hakikatnya, kos peminjaman dan kos untuk kita bayar faedah sudah naik, lebih-lebih lagi jika penarafan kredit negara turut terkesan,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Najib berkata, nilai ringgit menjunam daripada RM4.16 ke RM4.19 pagi tadi dan masih mengalami penurunan, susulan pengumuman Moody’s.

Katanya, aliran penurunan mata wang negara itu akan menambah tekanan kepada rizab antarabangsa negara yang juga menurun setiap bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Langkah Moody’s turunkan penarafan Petronas berikutan Belanjawan 2019, di mana kerajaan akan menjarah Petronas untuk membayar dividen RM26 bilion bagi tahun ini dan RM54 bilion untuk tahun depan, berbanding RM16 bilion untuk tahun 2017 di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Berita Harian X