Selasa, 13 November 2018 | 9:38am

Jadual peperiksaan SPM 2019 diawalkan - Dr Maszlee

PUTRAJAYA: Jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia akan diawalkan selewat-lewatnya akhir September atau awal Oktober bermula 2019.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkenal sistem jadual peperiksaan anjal atas faktor logistik, cuaca serta kebajikan pelajar.

Menurut beliau, antara jadual peperiksaan yang diawalkan itu terdiri subjek elektif yang kandungan sukatan pelajarannya bersifat kemahiran dan mengandungi kerja kursus.

“Bagaimanapun subjek teras terdiri dari bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Sains, Matametik, Pendidikan Islam Dan Sejarah kekal mengikut jadual seperti biasa," katanya pada sidang media selepas mengadakan tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 16(1) di sini.

Yang turut hadir, Pengarah Lembaga Peperiksaan KPM, Adzman Talib dan Pengetua SMK Presint 16(1), Ab Aziz Mamat.

Seramai 421,706 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan bertulis SPM 2018 bermula hari ini sehingga 13 Disember depan.

Antara subjek elektif yang diawalkan itu terdiri dari mata pelajaran seni, pertukangan, sains komputer, bahasa bukan teras seperti Kadazan Dusun, Iban, Tasaur Islam dan seni muzik.

Maszlee berkata, peperiksaan awal itu juga dapat membantu mengurangkan tekanan pelajar dalam menghadapi masa yang panjang menghadapi peperiksaan.

Katanya, selain dapat memendekkan waktu peperiksaan, ia juga dapat mengurangkan bebanan pengawas peperiksaan yang bertugas.

DR Maszlee Malik ketika mengadakan tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 16(1) di Putrajaya. - Foto BERNAMA
Berita Harian X