Selasa, 13 November 2018 | 11:44am
MUHYIDDIN Yassin. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Pindaan POCA, POTA, SOSMA akan dibentang - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Pembentangan pindaan tiga akta yang bersifat penahanan mengekang dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen kali ini atau selewat-lewatnya Mac tahun depan.

Perundangan itu membabitkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- Langkah Khas) 2012 (SOSMA); Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA)

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyifatkan peruntukan tiga undang-undang itu bersifat teknikal, justeru proses penelitian memerlukan masa bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan hak asasi manusia seperti dibangkitkan pelbagai pihak sebelum ini.

“Peringkat akhir selepas perbincangan denga pemegang taruh, kita akan bawa ke Kabinet dan dibentangkan ke Parlimen untuk dibahas dan diluluskan.

“Kita berhasrat untuk segerakan proses ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Maria Chin Abdullah (PH PKR-Petaling Jaya) pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Maria meminta perincian kerajaan mengenai keperluan menubuhkan jawatankuasa teknikal bagi memperhalusi langkah meminda tiga akta terbabit yang sebelum ini disifatkan sebagai ‘drakonian’ atau zalim dan menindas.

Menjawab soalan asal Maria mengenai mengapa kerajaan masih bergantung kepada tiga akta itu, Muhyiddin berkata, ia berikutan proses perundangan memerlukan beban bukti jelas dengan kehadiran saksi di mahkamah untuk memberi keterangan.

Katanya, kerajaan bagaimanapun mengakui wujud kegusaran pelaksanaan akta berkenaan dan beberapa perkara kini dalam pertimbangan untuk proses penambahbaikan.

“Antaranya tempoh tahanan mengikut akta berkenaan terlalu panjang, manakala kuasa polis berkaitan tangkapan dan siasatan amat luas serta boleh disalahguna.

“Campur tangan badan kehakiman, termasuk kuasa mahkamah untuk mengadakan semakan juga agak terhad,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN UMNO-Pontian) mengenai keberkesanan tiga akta terbabit, Muhyiddin berkata, semua perundangan yang dibawa ke Parlimen untuk diluluskan amat penting.

Sehubungan itu, katanya, keselamatan negara mungkin terdedah kepada ancaman sekiranya SOSMA, POTA dan POCA tiada dalam peruntukan perundangan sebagai mekanisme pencegahan.

“Bagaimanapun, kita perlu teliti akta ini kerana nak tentukan tiada elemen menindas atau bertentangan dengan hak asasi manusia,” katanya.

Berita Harian X