Rabu, 14 November 2018 | 1:22pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Foto Sairien Nafis
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Foto Sairien Nafis

Pemansuhan hukuman mati mandatori diteliti - TPM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, cadangan pemansuhan akta hukuman mati mandatori memerlukan penelitian menyeluruh.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, perkara itu sudah dibincang bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong susulan kes bunuh bayi 11 bulan yang menggemparkan negara, Jumaat lalu.

“Pemansuhan akta ini rumit. Kita perlu lihat perkara ini dengan lebih mendalam kerana ia membabitkan hukuman gantung sampai mati.

“Jenayah terhadap bayi itu adalah tidak berperikemanusiaan dan sebagai seorang nenek dan ibu, saya memahami perasaan keluarga mangsa.

“Bagaimanapun, kita perlu siasat punca sebenar perkara itu kerana ia membabitkan dadah dan bagaimana ia boleh ditangani.

“Ini bukan hanya tertumpu kepada hukuman mati mandatori,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata, Kabinet belum membuat keputusan berhubung pemansuhan akta berkenaan.

Katanya, hukuman mati mandatori untuk kesalahan dadah tidak menjamin dapat menurunkan kes jenayah memandangkan masih ramai pesalah di penjara bagi kesalahan sama.

“Hukuman mati mandatori untuk kesalahan penggunaan dadah ini tidak menjadi pengajaran kerana di penjara masih banyak kes berkaitan pengaruh dadah, termasuk kes kematian bayi baru-baru ini.

“Menteri (Vui Keong) turut memaklumkan jumlah kes jenayah membabitkan penggunaan dadah masih meningkat walaupun dengan hukuman mati mandatori, maka ia tidak dapat menghentikan jenayah kejam ini,” katanya.

Semalam, Vui Keong dilapor berkata, hukuman mati mandatori bagi pelaku jenayah bunuh dengan sengaja adalah antara 32 kesalahan yang akan dipertimbangkan untuk dimansuhkan.

Berita Harian X