Rabu, 14 November 2018 | 2:26pm
MENTERI Pertahanan bersama delegasi Kementerian Pertahanan bertolak ke Bali Indonesia bagi menghadiri Mesyuarat GBC MALINDO dengan menaiki pesawat A400 TUDM.

Mohamad Sabu buat lawatan kerja ke Indonesia

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu melakukan lawatan kerja ke Bali, Indonesia bermula hari ini sehingga esok.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan hari ini, berkata lawatan itu sempena Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) Malaysia-Indonesia ke-41.

Selain mempengerusikan mesyuarat itu, Mohamad akan turut mengadakan pertemuan tertutup dengan rakan sejawat beliau dari Indonesia, Ryamizard Ryacudu.

“Dalam mesyuarat itu, kedua-dua Menteri Pertahanan akan mendengar laporan berhubung kegiatan yang dilaksanakan dan kemajuan bersama yang dicapai sejak Mesyuarat ke-40 di Kuala Lumpur pada 28 September 2017.

“Di samping itu, kedua-dua Menteri Pertahanan dijangka akan membincangkan secara khusus usaha ke arah meningkatkan tahap keselamatan di kawasan sempadan yang akan menjurus kepada peningkatan tahap sosio-ekonomi dan memperbaiki taraf hidup demi kesejahteraan rakyat di sempadan kedua-dua negara,” katanya.

Mohamad akan diiringi Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Halimi Abd Manaf, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Engku Hamzah Tuan Mat dan pegawai kanan dari pelbagai agensi yang berkepentingan.

Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) Malaysia-Indonesia adalah mesyuarat dua hala yang diadakan setiap tahun secara bergilir-gilir di antara Malaysia dan Indonesia.

Ia bertanggungjawab dalam memantau serta mentadbir kerjasama persempadanan bagi Malaysia dan Indonesia di samping memastikan kestabilan di kawasan sempadan Malaysia dan Indonesia sentiasa terkawal.

Berita Harian X